Pengalaman Saya Travel Dari KL – Hatyai Naik Keretapi Dengan Bajet Bawah RM500
Sebab ramai yang bertanya, saya kongsi perjalanan ke Hat Yai baru-baru ini menaiki keretapi. Perkhidmatan keretapi yang mempunyai ruang tidur (sleeper bed), dari KL – Padang Besar sudah ditamatkan perkhidmatannya tahun lepas. Dan kini telah digantikan dengan ETS. Jadi melepaslah angan-angan nak tidur dalam train, sambil menulis puisi. Gitu. Jadi nak tak nak, sebab hajat hati nak naik sangat keretapi, maka kami booking tiket secara online, boleh guna link ini untuk pembelian. Atau boleh terus ke kaunter KTMB di KL Sentral untuk beli secara terus. Terpulang. Cuma digalakkan beli awal. Sebab perkhidmatan ETS ni ramai yang guna. Jadi belilah cepat sebelum kehabisan. Harga tiket tren ETS berbeza mengikut klasifikasi tren.
Ada tiga jenis semuanya – Platinum, Gold dan Silver. Yang membezakan tren dan harga tren ini adalah perhentiannya. Platinum lebih cepat, kurang berhenti mengambil penumpang dan jarak masa yang singkat. Silver lebih lama masa perjalanannya kerana banyak stop/berhenti untuk mengambil penumpang. Bagi warga emas dan OKU serta pelajar juga boleh mendapat harga tiket yang istimewa/ konsesi. Dari KL Sentral ke Padang Besar, harga tiket orang dewasa sehala adalah RM80 dan kanak-kanak RM44 (Emas / Gold pakej). Kami naik ETS jam 9.30 pagi. ETS memang tepat waktu. Jadi pastikan jangan sampai lewat ke terminal. Sebab pertama kali naik tren, ETS ni seronok juga. Ada cafe kecil disediakan dengan makanan yang boleh tahan sedap juga. Ada tv yang pasang movie, surau, tandas yang bersih. Selesa untuk perjalanan yang jauh.
Tolak-campur macam naik kapal terbang juga rasanya. Sepanjang perjalanan kita dihidangkan dengan permandangan yang indah. Perjalanan mengambil masa 5 jam. Kami tiba di stesen Padang Besar jam 3 petang lebih kurang. Disebabkan nak kejar keretapi klasik Hat Yai yang akan bergerak jam 3.45 waktu Malaysia (waktu Siam sejam lambat dari Malaysia), maka waktu ni kelam-kabut sikit. Sebab nak beratur cop pasport, beli tiket ke Hat Yai, isi borang imigresen. Boleh bayangkan kalau pergi hujung minggu, mesti akan lebih kelam-kabut. Syukur kami tak perlu beratur panjang. Hanya ada beberapa penumpang yang turut serta bersama kami. Jadi proses berjalan pantas. Jadi total kalau anda pergi Hatyai pakai keretapi adalah RM80+RM10= RM90. Jadi tertunailah cita-cita saya menaiki keretapi klasik yang tingkapnya boleh dibuka. Dan beranganlah macam cerita hindustan sambil keluarkan kepala dan tudung melayang-layang ditiup angin nan ganas. Tiket untuk ke Hat Yai cuma RM10 bersamaan 100 baht untuk 2 orang. Dan untuk pengetahuan juga, tren ke Hat Yai cuma ada 2 kali. Belah pagi dan petang. Jadi kalau tak sempat naik train, boleh naik van yang disediakan di pintu masuk sempadan Thai dalam 700 meter dari Terminal Padang Besar. Harga tiket sama juga dengan naik keretapi. Cuma feel dia memang sangat lain la. Justeru pastikan rancang perjalanan dengan betul dan tepat, supaya bisa naik tren klasik yang menyeronokkan.
Kami tinggal di hotel namanyaThe Bed, di pekan Hat Yai yang harganya cuma lebih kurang RM100 sehari. Selesa, bersih dan agak luas untuk harga yang macam tu. Kedai makan tak ada masalah. Di mana-mana banyak kedai makan muslim. Komunikasi pun tak ada masalah. Mereka boleh faham cakap melayu. Hat Yai sedang tengkujuh. Hujan lebih banyak muncul dari matahari. Jadi di sekitar pekan Hat Yai kami berjalan saja. Semuanya memang dalam jangkauan berjalan. Cuma untuk ke tempat-tempat tourist attraction, agak jauh dan harus naik pengangkutan lain seperti motorsikal atau tuk-tuk. Kami pergi 3 hari saja, dari rabu sampai jumaat. Antara tempat yang kami sempat jejak : 1. Hat Yai Municipal Park
2. Phra Phutthamongkol Maharat
3. Hat Yai Municipal Bird Park
4. Night Market Hat Yai
5. Asean Trade Bazaar
6. Khlong Hae Floating Market
7. Chang Puak Camp Hat Yai Kesemua tempat-tempat ini harga tiket tak mahal sangat. Ada juga yang masuk percuma saja. Kami banyak habis duit untuk makan.
|