Bintang PSG, Neymar (terbaring) mengadu kesakitan selepas dikasari lawan pada saingan Piala Perancis. FOTO AFP
Harian Metro
Paris: Neymar meninggalkan padang tanpa menunggu untuk digantikan selepas menjadi mangsa beberapa kekasaran ketika kemenangan 1-0 Paris Saint-Germain dalam saingan Piala Perancis berdepan kelab bahagian dua, Caen, pagi ini.
Jurulatih PSG, Mauricio Pochettino kemudiannya memaklumkan Neymar mengalami kecederaan paha.
Penyerang Brazil, mengetuai PSG dengan Marquinhos dan ketiadaan Presnel Kimpembe, dikasari dua kali dalam tempoh tiga minit.
Dia sangat kecewa selepas kekasaran kedua oleh Steeve Yago, sehingga bertikam lidah dengan pemain Caen itu.
Ketika perlawanan bersambung, Neymar kembali mengadu sebelum berjalan keluar ke terowong bilik persalinan pada minit ke-57.
Pemain antara termahal dunia itu kemudian digantikan tiga minit selepas itu oleh Kylian Mbappe.
"Dia mengalami kesakitan pada paha, kami akan menilai bagaimana keadaannya adakah ia kecederaan atau tidak," kata Pochettino.
"Kami akan melihat esok selepas menjalani imbasan.
"Saya tidak mahu bercakap mengenai corak permainan lawan.
"Tetapi ketika perlawanan, sudah pasti kita ada perasaan untuk mendapat sedikit perlindungan. Namun bukan hanya dalam perlawanan ini." |