Surabaya: Seorang wanita terpaksa terjun dari tingkat dua sebuah rumah demi mencari makanan kerana kelaparan.
Pariyem, 44, yang juga pembantu rumah di Probolinggo bertindak sedemikian kerana mendakwa tidak diberikan makan oleh majikannya.
Malah, wanita itu mendakwa dia sering dikasari majikannya termasuk dipukul.
"Saya dikasari majikan dan sering dipukul di kepala dengan kasut serta selipar," katanya seperti dilaporkan portal Kompas.
Pariyem, Kredit foto: Kompas.com
Pariyem juga dikatakan sering mencari sisa makanan di tong sampah bagi mengalas perut.
Sepanjang bekerja selama lapan tahun, dia mendakwa tidak dibayar gaji, malah tidak mengetahui bayaran yang sepatut diterimanya.
Penderitaan Pariyem terbongkar selepas penduduk setempat melihatnya menyelongkar tong sampah untuk mencari makanan.
Penduduk kemudian menghampirinya untuk bertanyakan kisah sebenar sehingga dia terpaksa makan sisa di tong sampah.
Pariyem kemudiannya dibawa ke balai polis berhampiran untuk membuat laporan terhadap penderitaan dialaminya.
Ketua Polis Mayangan, Suharsono mengesahkan pihaknya sudah menerima laporan daripada wanita terbabit.
"Dia melompat (dari tingkat dua sebuah rumah) kerana mahu mencari makanan.
"Mangsa kemudian dibantu penduduk selepas menceritakan kisahnya yang tidak dibayar gaji dan dipukul majikan," katanya. -CARI
Sumber: Harian Metro |