"Maaf pak, maaf sangat-sangat." Hanya perkataan itu diluahkan seorang warga emas apabila Ketua Polis Cilandak, Kompol Iskandarsyah nekad mengendongnya sejauh 100 meter untuk dibawa ke pusat pemindahan susulan kediamannya di Jalan Mandala Bawah 2, Cilandak Barat, ditenggelami banjir Sabtu lalu.
Sukarni yang diselamatkan Iskandarsyah
Kediaman Sukarni, 60, yang menghidap penyakit tulang reput dan gout ditenggelami air setinggi dua meter.
Wanita itu mengakui tidak mengenali lelaki yang membantu menyelamatkannya sebelum penghulu mendedahkan identiti individu berkenaan.
"Saya langsung tidak tahu lelaki itu ketua polis. Semalam baru saya tahu lelaki itu Ketua Polis Cilandak selepas diberitahu penghulu," katanya ketika ditemui di pusat pemindahan di sini.
Sukarni berkata, sepanjang tempoh dikendong dia meminta maaf kepada Iskandarsyah, tanpa mengetahui lelaki itu seorang ketua polis.
Ketika banjir melanda, Sukarni bersama cucu manakala anaknya menyelamatkan motosikal daripada dihanyut banjir.
Pasukan penyelamat termasuk Ketua Polis Cilandak kemudian ke rumahnya untuk membantu memindahkan wanita berkenaan.
"ada awalnya lelaki itu memaklumkan untuk menyelamatkan saya kerana bimbang air semakin naik.
"Tetapi saya menolak kerana tidak dapat berjalan memandangkan kaki sakit," katanya.
Namun, katanya, Iskandarsyah bertegas untuk menyelamatkannya dengan mengendong di belakang.
"Saya segan ketika dia ingin mengendong saya, tetapi akhirnya menerima tawaran itu. Alhamdulillah, terima kasih kepada beliau, saya minta maaf kerana badan berat.
"Sepanjang perjalanan saya melihat Iskandarsyah sangat tenang sepanjang menyelamatkan mangsa banjir," katanya yang memiliki berat badan 80 kilogram.
Sementara, Iskandarsyah berkata, pasukan penyelamat menemui Sukarni berada di dalam rumah dan menyangka wanita itu tinggal seorang diri.
Sumber: Harian Metro |