Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Rohan Shah Ahmad berkata kes itu akan dirujuk kepada pejabat pendakwa raya untuk tindakan lanjut. (Gambar Facebook)
FMT
LAHAD DATU: Sembilan wanita Palauh dilaporkan ditahan kerana tidak mematuhi SOP perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) dalam Op Covid-19, di sini semalam.
Laporan Sabah Post memetik Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Rohan Shah Ahmad berkata kesemua wanita berusia antara 17 hingga 41 tahun itu ditahan ketika mengemis dengan tidak memakai pelitup muka atau menjaga penjarakan fizikal.
Menurut laporan berkenaan, kumpulan itu dikompaun RM10,000 dalam operasi pemantauan Op Covid-19 di dua lokasi pada 12 tengah hari itu, dengan 25 anak kepada sembilan wanita terbabit Palauh itu turut ditahan.
Operasi itu dikatakan bagi mengesan individu yang meminta sedekah daripada pengguna jalan raya tanpa memakai pelitup muka dan menjaga penjarakan fizikal.
“Operasi tersebut dijalankan di kawasan lampu isyarat berdepan Kedai D.I.Y Bandar Lahad Datu dan di lampu isyarat Bandar Sri Perdan, Lahad Datu.
”Kedua-dua kawasan ini menjadi lokasi utama kegiatan mengemis dalam kalangan suku Palauh,” katanya dipetik portal berkenaan.
Bagaimanapun, Malaysiakini kemudian memetik Rohan berkata wanita terbabit bukan didenda RM10,000, sebaliknya hanya disiasat kerana tidak bernegara.
Susulan itu, kes berkenaan akan dirujuk kepada pejabat pendakwa raya untuk tindakan lanjut. |