Pengendali Arsenal Mikel Arteta kecewa dengan aksi tidak konsisten anak buahnya ketika seri 3-3 menentang West Ham. - Foto AFP
Berita Harian
LONDON: Pengendali Arsenal Mikel Arteta kecewa dengan aksi tidak konsisten anak buahnya walaupun berjaya bangkit daripada ketinggalan tiga gol untuk seri 3-3 menentang West Ham.
Permulaan hambar menyaksikan Gunners dibolosi tiga kali dalam tempoh 32 minit pertama menerusi Jesse Lingard, Jarrod Bowen dan Tomas Soucek.
Namun jaringan sendiri Soucek dan Craig Dawson menyaksikan West Ham memotong kelebihan mereka dan tandukan Alexandre Lacazette
menyelamatkan satu mata buat Arsenal.
West Ham kekal di tangga kelima Liga Perdana Inggeris, dua mata di belakang Chelsea yang menghuni tangga keempat.
Harapan Arsenal untuk memburu tiket Liga Juara-Juara Eropah musim depan kini bergantung kepada kejayaan mereka dalam saingan Liga Europa selepas ketinggalan sembilan mata di belakang Chelsea.
"Saya amat kecewa kerana saya tidak dapat menerima corak permainan pasukan seperti dalam babak pertama.
"Apa yang saya harapkan ialah kami bermain pada tahap seperti di babak kedua. Kami boleh menjaringkan enam atau tujuh gol.
"Kami sering ketinggalan kerana kami ada dua wajah. Wajah pertama ialah memberikan gol kepada lawan dan tidak melakukan apa yang sepatutnya," kata Arteta. |