Semporna ialah zon hijau bagi wabak COVID-19. Gambar kaum Suluk yang tinggal rumah di atas air menternak rumpai laut di Pulau Sangaban. - Foto NSTP/ASWADI ALIAS
Berita Harian
Izwan Abdullah
[email protected]
KOTA KINABALU: Pitas daerah terbaharu memasuki zon hijau hari ini, menjadikan empat daerah kini tiada kes aktif COVID-19 di Sabah.
Tiga lagi ialah Tongod, Semporna dan Kuala Penyu, manakala 15 daerah berada dalam zon kuning dan masing-masing empat daerah dalam zon jingga serta merah.
Jurucakap perkembangan COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun dalam kenyataan media malam ini, berkata Kota Kinabalu, Keningau, Tawau dan Nabawan masih dalam zon merah.
Katanya, daerah Kota Belud yang berada dalam zon jingga mencatat kes baharu tertinggi hari ini dengan 11 kes, diikuti enam kes di Kota Kinabalu.
"Hari ini daerah Penampang dan Putatan bertukar dari zon jingga ke zon kuning, manakala daerah Pitas bertukar dari zon kuning ke zon hijau," katanya.
Sabah hari ini hanya merekodkan 36 kes baharu dengan satu kematian di Kota Kinabalu, manakala seramai 78 pesakit dilaporkan sembuh.
Baki pesakit yang masih dirawat seramai 363 orang, masing-masing 144 orang di hospital dan 210 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) awam.
Sementara itu, Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri berkata, setakat ini, seramai 41,445 orang sudah menerima suntikan dos pertama vaksin Pfizer-BioNTech di Sabah, termasuk 25 orang hari ini.
"Bagi dos kedua vaksin Pfizer-BioNTech, seramai 305 orang menerima suntikan hari ini, menjadikan jumlah kumulatif setakat ini seramai 914 orang," katanya. |