Sultan Ibrahim Iskandar menerima draf perlembagaan Persatuan Anak Bangsa Johor (PABJ) daripada Mohsen (tiga dari kanan) di Pejabat Mados, Istana Bukit Pelangi, hari ini. - Foto ihsan Royal Press Office
Berita Harian
Mary Victoria Dass
[email protected]
JOHOR BAHRU: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, memperkenankan penubuhan Persatuan Anak Bangsa Johor (PABJ) yang berperanan menyatukan anak negeri itu.
Sultan Johor dalam muat naik di laman rasmi Facebook Sultan Ibrahim bertitah, baginda sentiasa menitikberatkan perpaduan dalam kalangan bangsa Johor yang menjadi tunjang kemajuan dan pembangunan negeri berkenaan.
"Saya tiada masalah dalam penubuhan persatuan ini, saya mahu jawatankuasa interim berbincang secara terperinci mengenai perlembagaan persatuan dan perkara lain.
"Selepas disiapkan draf perlembagaan, boleh mengadap semula untuk saya menelitinya kerana saya mahu ia (PABJ) adil kepada semua kaum," titah baginda.
Terdahulu, baginda berkenan menerima kunjungan Presiden Interim PABJ, Datuk Mohsen Hasbollah bersama Naib Presiden Interim, Law Boo Song dan M Pubalan; Setiausaha interim, Radiah Nordin serta Sekretariat interim, Lutfi Radzi.
Pertemuan berkenaan diadakan di Pejabat Mados, Istana Bukit Pelangi di sini, hari ini.
Mohsen turut mempersembahkan kertas kerja penubuhan PABJ kepada baginda termasuk ringkasan kronologi penubuhan persatuan, hala tuju, objektif dan carta organisasi. |