KUCHING: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata dua lagi kawasan minyak dan gas ditemui di kawasan pesisir pantai di Sarawak.
Abang Johari berkata, syarikat Petroliam Nasional Bhd (Petronas) telah memaklumkan perkara tersebut kepada beliau semasa membuat kunjungan hormat pada Isnin. “Selain daripada minyak dan gas yang ditemui di Wilayah Luconia Tengah dan Delta Baram baru-baru ini, kemungkinan kita menemui dua lagi kawasan baru minyak dan gas. “Oleh itu, berdasarkan Perjanjian Penyelesaian Komersial (CSA), kita akan melaksanakan bahagian kita dalam mengembangkan kawasan-kawasan tersebut melalui Petroleum Sarawak Berhad (PETROS). “Apa yang kita lakukan adalah berdasarkan hak kita dalam Perlembagaan,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan majlis pecah tanah jambatan Batang Lupar di Pangkalan Feri Sebuyau-Triso di Sebuyau di sini, hari ini. Beliau berkata, Petronas akan mengeluarkan kenyataan sendiri mengenai perincian penemuan kawasan baharu tersebut. Pada 25 Februari lalu, Petronas mengumumkan penemuan gas dari telaga eksplorasi Dokong-1 dalam kontrak perkongsian pengeluaran (PSC) Blok SK417 yang terletak di perairan cetek Baram, kira-kira 90 kilometer dari pantai Sarawak. Naib Presiden Ka-nan Pengurusan Petroleum Malaysia Petronas, Mohamed Firouz Asnan berkata, firma itu dan pihak PSC sedang melakukan penilaian lebih lanjut berkaitan penemuan tersebut. Ini penemuan kedua di luar pantai Sarawak selepas Petronas mengesahkan penemuan gas dari telaga Lang Lebah-2 terletak di Wilayah Luconia Tengah, kira-kira 80 kilometer dari pesisir pantai negeri itu 10 Februari lalu. Hadir sama pada sidang media itu ialah Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar Dr James Jemut Masing, Menteri Muda Pembangunan Infrastruktur dan Pelabuhan Datuk Julaihi Narawi serta tetamu kehormat lain.
kredit : utusanborneo 23/3/2021
|