View: 1458|Reply: 0
|
[SEJARAH]
Sejarah Pensyariatan Puasa Dalam Islam
[Copy link]
|
|
Sejarah Pensyariatan Puasa Dalam Islam
Para ulamak berselisih pendapat, bilakah kewajipan puasa bermula? Sebahagian mereka berpandangan, ia bermula pada bulan Ramadhan tahun kedua hijrah. Pendapat ini disandarkan kepada ulama mazhab Shafie.
Sebahagian mereka pula berpendapat, sebelum puasa diwajibkan pada bulan Ramadhan, umat Islam telahpun diwajibkan berpuasa pada hari Asyura iaitu hari yang kesepuluh dalam bulan Muharam. Kemudian kewajipan tersebut telah diangkat dan digantikan dengan kewajipan berpuasa pada bulan Ramadhan.
Pendapat ini disandarkan kepada ulama mazhab Hanafi berdasarkan kepada beberapa hadis berikut:
Abdullah bin Umar R.A berkata: “Rasulullah S.A.W telah berpuasa pada hari Asyura dan memerintahkan para sahabat berpuasa pada hari tersebut. Apabila difardukan puasa pada bulan Ramadhan, maka puasa hari Asyura tidak lagi dilakukan sebagai ibadah wajib”.
Abdullah bin Umar tidak berpuasa pada hari Asyura melainkan jika ia kebetulan jatuh pada hari yang menjadi kebiasaan bagi beliau berpuasa sunat. Demikian kerana beliau sering melazimi puasa sunat MELEBIHI DUA HARI dalam seminggu.
Beliau juga berpendapat bahawa makruh berpuasa dengan niat puasa hari Asyura semata-mata. Bagaimanapun, setelah beliau meninggal dunia, pendapat yang mengatakan makruh berpuasa pada hari Asyura tidak lagi digunakan.
Aisyah R.A berkata: “Pada zaman jahiliah, masyarakat Quraisy sering berpuasa pada hari Asyura. Kemudian Rasulullah S.A.W mengarahkan para sahabat supaya turut berpuasa pada hari tersebut sehinggalah difardukan puasa pada bulan Ramadhan.
Ketika itu, Baginda S.A.W bersabda kepada mereka: “Barang siapa mahu berpuasa, dia boleh melakukannya. Barang siapa mahu berbuka, dia juga boleh melakukannya”.
Ulamak mazhab Shafie berpendapat, dalil-dalil di atas tidak mengandungi perintah wajib.
Ia sekadar anjuran puasa yang bermaksud sunat. Pendapat mereka ini di kuatkan lagi dengan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Muawiyah bin Abu Sufian R.A. Beliau berkata: “Wahai penduduk Madinah! Di manakah para ulamak kamu? Aku telah mendengar Rasulullah S.A.W bersabda: “Hari ini adalah hari Asyura. Allah S.W.T tidak mewajibkan ke atas kamu berpuasa padanya. Aku sedang berpuasa. Barang siapa yang mahu berpuasa, dia boleh melakukannya. Barang siapa yang mahu berbuka, dia juga boleh melakukannya”.
Ucapan tersebut disampaikan sesudah beliau diangkat menjadi Khalifah umat Islam. Beliau mempersoalkan peranan ulama Madinah ketika itu disebabkan sikap sebahagian penduduk Madinah yang tidak mengambil berat puasa hari Asyura.
Bahkan ada yang berpendapat berpuasa pada hari tersebut adalah makruh. Justeru, beliau menegaskan bahawa berpuasa pada hari tersebut merupakan sunnah yang sering dilakukan oleh Rasulullah S.A.W.
Sebahagian ulama berpendapat, hadis Muawiyah masih samar dalam menafikan kewajipan berpuasa pada hari Asyura. Malah, terdapat banyak hadis yang menunjukkan ia benar-benar pernah diwajibkan kepada umat Islam.
Setelah difardukan puasa pada bulan Ramadhan, kewajipan berpuasa pada hari Asyura ini diringankan sehingga menjadi sunat. Antara ilmuwan yang memilih pendapat ini ialah Imam Ibnu Hajar al-Asqalani.
Jika benar umat Islam pernah diwajibkan berpuasa pada hari Asyura, apakah waktu yang paling tepat bagi kefarduan ini? Ibnu Hajar al-Asqalani menjelaskan, kali pertama umat Islam melaksanakan kewajipan puasa hari Asyura ialah pada tahun kedua hijrah.
Hal ini disebabkan penghijrahan Rasulullah S.A.W ke kota Madinah berlaku pada bulan Rabiul Awal iaitu bulan yang ketiga di dalam taqwim hijri. Baginda S.A.W hanya mengerjakan puasa hari Asyura pada bulan Muharam pada tahun seterusnya.
Kemudian pada bulan Ramadhan di tahun yang sama, kewajipan puasa Ramadhan disyariatkan. Hal ini bermakna Rasulullah S.A.W dan para sahabat hanya melakukan puasa wajib hari Asyura sekali seumur hidup mereka. Setelah itu mereka melakukannya dalam keadaan sunat sahaja.
Sebab diwajibkan puasa hari Asyura telah dinyatakan di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Abbas R.A. Beliau berkata: “Setibanya Rasulullah S.A.W ke Madinah, Baginda mendapati kaum Yahudi berpuasa pada hari Asyura.
Lalu ditanyakan hal itu kepada mereka. Mereka menjawab: “Hari ini adalah hari bertuah iaitu hari Allah S.W.T menyelamatkan Bani Israel daripada musuh mereka iaitu Firaun. Lalu dengan sebab itu nabi Musa A.S berpuasa padanya”. Mendengarkan jawapan tersebut, Rasulullah S.A.W bersabda: Aku lebih berhak melakukan apa yang dilakukan oleh Musa A.S berbanding kamu. Lalu Rasulullah S.A.W berpuasa pada hari tersebut dan mengarahkan para sahabat supaya berpuasa pada hari tersebut”.
Para ulama menjelaskan, di awal kedatangan Rasulullah S.A.W ke kota Madinah, Baginda ingin sekali melihat agar perbuatan umat Islam itu mirip atau hampir menyamai perbuatan kaum Yahudi. Ini bertujuan untuk menarik minat kaum Yahudi kepada Islam dan memperlihatkan kehebatan Islam ke atas agama berhala yang dianuti oleh bangsa Arab ketika itu. Oleh itu, tidak hairanlah mengapa Rasulullah S.A.W mengarahkan umatnya berpuasa pada hari Asyura.
Namun, setelah Islam semakin tersebar dan kuat, kaum Yahudi pula tidak menunjukkan semangat kejiranan, apatah lagi mahu memeluk Islam. Baginda S.A.W telah mengarahkan umatnya agar memiliki imej dan identiti sendiri dan tidak mengikut telunjuk kaum Yahudi. Justeru, di akhir hayat Rasulullah S.A.W, baginda berazam untuk berpuasa pada hari yang kesembilan daripada bulan Muharam supaya puasa umat Islam tidak dilihat mirip dengan puasa kaum yahudi.
Selain kaum Yahudi, masyarakat Arab Jahiliyyah juga mengamalkan puasa hari Asyura. Diandaikan bahawa mereka melakukannya berdasarkan saki-baki ajaran nabi Ibrahim A.S yang masih lagi diamalkan ketika itu, dan Rasulullah S.A.W belum lagi mewajibkan ke atas umatnya berpuasa pada hari tersebut sehinggalah baginda tiba di Madinah.
“Demikianlah sejarah ringkas tentang pensyariatan puasa dalam Islam”
SUMBER :
Markaz Pengumpulan Kajian & Hasil Penyelidikan PMRAM
|
|
|
|
|
|
|
| |
|