11 penduduk kampung di wilayah Kandal selatan Kemboja maut selepas meminum wain beras buatan tempatan yang didapati mengandungi kadar metanol yang tinggi, lapor Agensi Berita Xinhua.
Menurut ketua jabatan kesihatan wilayah itu, Kuoy Bunthoeun pada Rabu berkata, kejadian berlaku di kampung Ta Skor di komuniti Sarika Keo daerah Lvea Em 10 Mei lalu.
Gambar hiasan
Kredit foto: VOA Cambodia
"Sampel wain itu kemudian diuji di makmal Institut Kesihatan Umum di Phnom Penh dan hasil ujian mendapati wain tersebut mengandung kadar metanol yang tinggi," katanya.
Kandungan metanol dalam wain itu melebihi jumlah dibenarkan iaitu 0.15 peratus.
Katanya, pihak jabatan meminta kerjasama pihak berkuasa tempatan untuk menutup semua kilang penyulingan dan kedai menjual wain beras di daerah itu bagi mengelak lebih banyak kematian.
Sementara itu, ketua daerah Lvea Em Kan Sokkay berkata, pihak berkuasa merampas wain beras yang dijual kira-kira 20 gerai di daerah itu dan menasihati penjual berhenti menjualnya buat sementara waktu.
Kredit foto: Daily News 24
Wain beras sangat popular di kawasan luar bandar kerana harganya yang murah.
Pada November, di wilayah Kampong Chhnang tujuh maut akibat minuman wain metanol.
Sumber: BERNAMA |