|
Penyanyi terkenal Ramlah Ram berharap pelapis industri muzik dalam kalangan penyanyi biarlah mereka yang berkualiti dan betul-betul boleh menyanyi.
Ramlah, 56, yang sudah 36 tahun menjadi penyanyi berkata, penyanyi yang bagus akan kekal bertahan dan bukan hanya tular sekejap tanpa bakat dimiliki.
Kenyataan itu bagi menjawab persoalan mengenai kebanjiran penyanyi baharu yang diterima peminat, tapi tidak berbakat dari segi nyanyian.
Kredit foto: IG Ramlah
"Kita tak boleh sekat pilihan peminat. Ini pilihan masing-masing. Nak suka sebab bakat atau apa terpulang. Sebab sekarang masing-masing boleh promosi diri sendiri.
"Kalau tanya saya, nak mencari pelapis sudah tentu nak yang berbakat. Menjadi penyanyi kena nyanyi dengan bagus. Penyanyi kalau tak boleh nyanyi, ia tidak digelar penyanyi. Jadi, kena ada pelapis berbakat.
"Macam sekarang, ada penyanyi baru yang berbakat dan memang bagus. Kalau boleh nak macam itu semuanya. Tidak mahu tular sekejap, tapi tidak boleh nyanyi dan terus hilang," katanya.
Ramlah yang ditemui pada sesi pelancaran lagu terbaharunya, Aku Ubatinya Lagi bersama media secara dalam talian berkata, dia kagum dengan bakat dan kualiti dimiliki penyanyi (sekadar menyebut beberapa nama) seperti Ernie Zakri, Aina Abdul, Hazama, Syamel dan beberapa lagi.
"enyanyi yang bagus dan dengan kualiti vokal seperti Ernie Zakri, Aina Abdul, Hazama, Syamel dan beberapa lagi. Ini yang saya kagum. Kalau dapat semua macam ini sudah cukup baik.
"Kalau yang lain baru nak muncul tu biarlah yang berbakat. Insya-Allah, kalau hadir dengan bakat boleh bertahan lama," katanya.
Mengenai single bergenre balada itu, Ramlah buat pertama kali bekerjasama dengan komposer terkenal, Ajai dan gubahan muzik mendapat sentuhan komposer, Sharon Paul.
Sumber: Harian Metro |
|