Seorang wanita dari Indonesia menjadi sensasi internet kerana hadir ke majlis perkahwinan bekas kekasihnya dengan membawa sejambak bunga hiasan berupa wang tunai sebagai hadiah kepada pengantin perempuan, lapor laman berita Suara.com hari ini.
Dalam satu video yang dimuat naik di akaun TikTok @sri_mstf, wanita tersebut menghadiri majlis perkahwinan itu bersama kekasih baharunya.
Wanita itu menghadiahkan jambangan wang tersebut kepada pengantin perempuan serta turut berjabat salam dengan pengantin lelaki. - TikTok @sri_mstf
Dengan berbaju kebaya berwarna coklat dan kain bercorak batik, wanita berkenaan kelihatan berjalan dengan teman lelakinya untuk naik ke pentas pelamin sambil membawa wang tunai yang dihias sebagai sejambak bunga.
Dia kemudiannya memberikan jambangan wang tersebut kepada pengantin perempuan serta turut berjabat salam dengan pengantin lelaki.
Pengantin perempuan kelihatan amat gembira apabila menerima hadiah tersebut.
“Menghadiri majlis perkahwinan bekas kekasih. Bersama kekasih. Membawa jambangan wang,” tulis wanita tersebut pada hantaran videonya.
Video itu menerima sebanyak 13 juta tontonan serta 1.2 juta tanda suka daripada netizen yang memuji tindakan wanita tersebut.
“Saya tidak kisah jika bekas kekasih suami datang (ke majlis perkahwinan) dengan cara ini. Datang saja semua bekas kekasihnya, tidak mengapa,” tulis seorang netizen.
“Seorang wanita yang berwibawa,” komen seorang lagi.
Sumber: Kosmo |