|
Setelah 17 tahun berlalu, penyanyi Dr Fitri Haris kembali bersengkang mata menjaga cahaya mata pertama hasil perkahwinan dengan pengurusnya Fazilah Omar.
Menurut Fitri, biarpun pernah melalui pengalaman menjaga anak pada perkahwinan terdahulu namun kali ini memberi satu perjalanan yang berbeza.
Walaupun tidak dapat tidur secukupnya, penyanyi berusia 37 tahun ini menganggap ia satu kenikmatan sebagai seorang bapa.
Foto: IG
"Selepas 17 tahun, kemudian ada baby... jadi rasa seperti seorang bapa muda sebab nak jaga baby sekarang ini teringat masa jaga anak pertama saya dahulu.
"Cumanya, ingat sedikit sahaja. Cara nak pegang dan bila baby menangis, nak susu... rasa pengalaman baru. Berjaga waktu malam itu sudah menjadi kebiasaan sekarang la.
"Untuk berjaga malam memang saya sebab nak beri peluang untuk isteri berehat. Selepas subuh, saya tak tidur tapi tengahari atau petang baru tidur kejap.
"Kena berkorban sikit untuk merasai kenikmatan melalui pengalaman menjaga bayi. Mungkin ada orang anggap tahun pertama agak sukar tapi bagi saya, ia satu nikmat," katanya kepada mStar.
Fazilah selamat melahirkan bayi lelaki mereka pada 28 Jun lalu kira-kira pukul 9.07 di Hospital Pakar An-Nur, Bangi, Selangor.
Menerusi laporan mStar pada 4 Julai lalu, Fitri juga mendedahkan nama bayi sulung mereka iaitu Bilal Habibi yang diambil sempena kisah sirah para Anbiya.
Bekas anggota UNIC ini berkahwin dengan Fazilah Omar atau lebih mesra disapa El pada Disember 2019.
Untuk rekod, Fitri pernah tiga kali menduda dan mempunyai seorang cahaya mata bernama Sofea Soleha, 17, yang menetap bersama bekas isterinya di Singapura.
Manakala Fazilah juga pernah mendirikan rumah tangga dan dikurniakan seorang anak lelaki bernama Qhalish Rayyan Adam, 10.
Dalam pada itu, Fitri mengambil inisiatif menganjurkan program bukan bersifat keuntungan membabitkan barisan selebriti tanah air dalam membantu negara bebas Covid-19 berjudul Zahran Sahabat.
"Dijangkakan program ini akan berlangsung sebanyak 13 episod ini turut disertai selebriti terkenal tanah air bagi berkongsi pengalaman mereka dalam melawan Covid-19," katanya.
Program itu menampilkan Fitri sebagai hos tetap bersama Ketua Kesihatan Megaklinik Zahran, Dr Zafirah, Ketua Pegawai Operasi Megaklinik Zahran, Datuk Nafidz dan isterinya, Datin Ummul Khairiyah. -CARI
Sumber: mStar Online
|
|