Aktor Johnny Depp, 58, mendedahkan dia kini diboikot di Hollywood sejak kes kekalahannya terhadap bekas isteri Amber Heard sebelum ini.
Selepas namanya digugurkan daripada filem Fantastic Beasts, terbaharu filem Minamata lakonannya dilaporkan tidak akan ditayangkan di Amerika Syarikat (AS).
Kredit foto: Blackpool Gazette
Depp mengakui terkilan kerana tindakan itu benar-benar memberi kesan kepada keseluruhan produksi Minamata. Dia kecewa situasi semasanya dijadikan alasan dalam hal itu.
"Apa yang saya lalui, biar saya saja lalui. Tapi, paling utama bahagian tertentu dalam hidup saya ini memang tidak masuk akal.
"Mereka yang dalam Minamata pula berdepan apa? Ada orang menderita Covid-19? Ramai orang kehilangan nyawa mereka.
"Ini memberi kesan kepada semua dalam Minamata, kepada yang berdepan pengalaman sama, atau apa-apa saja.
"Saya diboikot Hollywood? Seorang diri, aktor yang terperangkap dalam situasi kacau-bilau, sejak beberapa tahun kebelakangan ini?" katanya dalam sebuah temubual baru-baru ini.
Meskipun kariernya semakin terjejas, Depp bagaimanapun bersyukur terus mendapat sokongan padu daripada peminatnya. Lebih menyentuh hati, dia tahu peminat juga tahu kebenaran kisahnya.
Kredit foto: IMDb
"Merekalah (peminat) majikan saya selama ini. Saya sangat bangga dengan mereka kerana sentiasa cuba berkata mengenai kebenaran," katanya.
Terdahulu, Depp kalah dalam perbicaraan kes dia mengasari bekas isterinya di Mahkamah Tinggi London pada November tahun lalu. Menurut mahkamah, laporan akhbar The Sun yang mendakwanya melakukan keganasan hakikatnya adalah benar.
Sumber: Harian Metro |