[size=0.8]Oleh Zuliaty Zulkiffli - Ogos 20, 2021 @ 4:01pm[email protected]
![](https://assets.bharian.com.my/images/articles/jerai_1629446473.jpg)
YAN: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah mengenal pasti 18 lokasi pusat peranginan di negeri ini yang kerap berlakunya fenomena kepala air.
Ini termasuklah kawasan pusat peranginan Titi Hayun di Yan selain kawasan air terjun di Junjung di Kulim, Pusat Rekreasi Tupah di Merbok Sungai Petani, Air Terjun Batu Hampar di Yan, Air Terjun Temurun, Jalan Datai di Langkawi, Hutan Lipur Lubuk Semilang di Langkawi.
Selain itu, Hutan Lipur Puncak Janing di Kuala Nerang, Air Terjun Telaga Tujuh di Langkawi, Sungai Kuala Sedim di Kulim, Air Terjun Ulu Paip di Kulim, Air Terjun Bukit Hijau di Baling, Air Terjun Lata Bayu di Baling, Air Terjun Lata Mengkuang di Sik, Perangin di Sik, Tasik Beris di Sik, Sungai Kulim, Lata Celak Iboi di Baling.
Dua lagi lokasi tumpuan ramai iaitu di, Sungai Ketil di Baling dan Sungai Empangan Pedu di Kuala Nerang.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, JBPM Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, kesemua lokasi itu tidak selamat dikunjungi ketika perubahan cuaca termasuk hujan lebat berlaku.
Beliau berkata, antara tanda berlakunya kepala air termasuklah bunyi deruan kuat di atas puncak bukit atau gunung selain air tiba-tiba bertukar keruh mendadak yang disertai ranting kayu dan daun berselerak mengikut aliran air.
"Kalau ada petanda seperti itu, jangan tunggu lagi, segera beredar dari kawasan itu kerana bimbang kepala air akan berlaku di situ yang boleh mengancam keselamatan pengunjung di situ.
"Seeloknya ketika keadaan cuaca sekarang ini, elakkan mengunjungi kawasan peranginan termasuk di pantai sungai dan bukit untuk mengelak kejadian ini berlaku," katanya ketika ditemui hari ini.
Semalam, Jabatan Meteorogi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan lebat dijangka berlaku di beberapa daerah di negeri ini selama dua hari bermula semalam dan hari ini.
Antara daerah terbabit termasuklah Kota Setar, Pendang, Langkawi, Yan, Kubang Pasu, Kulim dan Bandar Baharu.