[size=0.8]Oleh Noorazura Abdul Rahman - Ogos 20, 2021 @ 5:01pm[email protected]
![](https://assets.bharian.com.my/images/articles/tilam20_1629450062.jpg)
Abdul Azeez melihat tilam yang akan diagihkan kepada penduduk yang terjejas akibat tragedi kepala air. - Foto NSTP/NOORAZURA ABDUL RAHMAN
YAN: Kira-kira 600 keluarga mangsa tragedi kepala air akan menerima bantuan barang keperluan asas bagi meringankan beban mereka.
Pengerusi Biro Kebajikan UMNO Malaysia (BKUM), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, berkata bantuan awal yang dihulurkan ialah makanan dan peralatan memasak.
"Sebaik saja mendapat laporan mengenai tragedi kepala air di Yan dan Kuala Muda, kita terus dapat arahan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk gerakan bantuan.
"Bantuan ini kita serah kepada Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Jamil Khir Baharom untuk diagih kepada penduduk yang terjejas. Selain makanan, kita juga serahkan tilam, bantal, selimut, periuk dan dapur gas," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyerahkan bantuan serta meninjau lokasi yang terjejas di sekitar Yan dan Merbok, di sini, hari ini.
Abdul Azeez berkata, pihaknya turut berharap lebih banyak pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) tampil menghulurkan bantuan.
"Saya melihat bagaimana rumah penduduk yang rosak serta dipenuhi lumpur, mereka sedang bertungkus lumus membersihkan rumah sejak semalam.
"Saya harap penduduk bersabar kerana ini semua ujian Allah," katanya.