|
“Saya masih belajar untuk ke arah itu (berhijab) dan tidak berani untuk berjanji 100 peratus mengatakan saya telah berhijab penuh. Apa-apa pun saya akan cuba yang terbaik.”
Itu jawapan yang diberikan oleh penyanyi, Ashira Aziz ketika dihubungi Kosmo! Online berhubung perkongsian sekeping fotonya berhijab (menutup aurat) dalam Instagram malam tadi.
Ujar Ashira atau nama lengkapnya Sharifah Nur Ashira Syed Abdul Aziz, 36, berkata, perasaan untuk berhijab dan menjadi lebih baik tiba-tiba muncul ketika dia menjalani rawatan dan kuarantin kendiri selepas dijangkiti Covid-19 sekitar penghujung Julai lalu.
Foto: IG
“Masa saya sakit baru-baru ini (positif Covid-19), saya tertanya-tanya sama ada saya akan hidup lagi atau tidak pada keesokan hari. Saya sempat bertaubat atau tidak? Biasalah kita manusia biasa yang tidak pernah lari daripada melakukan kesalahan.
“Tiap-tiap malam saya terfikir tentang perkara itu (kematian). Lebih-lebih lagi apabila saya susah hendak bernafas sehingga saya menjadi takut,” jelasnya.
Kata pelantun lagu Di Ombak Resah itu lagi, suatu hari ketika bersendirian di dalam bilik, dia membelek-belek aplikasi jualan secara dalam talian dan tertarik dengan beberapa helai tudung yang dijual pada harga murah.
“Mungkin Allah SWT nak gerakkan hati saya ketika itu. Saya rasa cantik sangat tudung tersebut dan harganya juga murah iaitu serendah RM5 sehelai. Jadi saya beli beberapa helai.
“Ketika memotong gelang selepas disahkan bebas daripada Covid-19 baru-baru ini, saya telah mula berhijab, tetapi tidaklah sempurna lagi,” katanya.
Ujar Ashira yang juga isteri kepada penyanyi, Bad Indigo itu lagi, beberapa kejadian yang berlaku disekelilingnya termasuk kematian ibu tirinya, Norma Ariffin dan pemergian rakan artis iaitu penyanyi Siti Sarah Raissuddin akibat Covid-19.
“Selain terkesan akibat diri sendiri dijangkiti Covid-19, pemergiaan beberapa insan yang saya kenali seperti Mak Norma (ibu tiri) dan Siti Sarah turut meninggalkan keinsafan dalam diri,” katanya.
Mengakui berasa agak ‘malu’ untuk mendedahkan imej terbaharunya itu, Ashira berharap selepas ini jika hendak keluar rumah, dia akan tetap mengenakan hijab di kepalanya dan memohon doa daripada peminat untuk membulatkan hati menutup aurat.
“Kalau Allah SWT restui saya, benda itu (menutup aurat) akan berlaku juga. Insha-Allah,” jelas Ashira. -CARI
Sumber: Kosmo
|
|