Remaja wanita yang mendakwa dirinya diculik nekad menyelamatkan diri dengan melompat keluar dari tingkap bangunan di bandar Antalya, Turki pada Khamis lalu.
Lapor Daily Mail, satu rakaman video menunjukkan Sirin N.E, 19, menjuntaikan kakinya di tingkap sebelum melompat keluar dari ketinggian sembilan meter.
Kredit foto: newsfounded.com
Remaja itu menjerit meminta pertolongan daripada orang ramai sebelum melakukan lompatan.
Namun, orang ramai yang tidak mengetahui Sirin berada dalam bahaya cuba mendesaknya untuk masuk kembali ke dalam bangunan itu dan menelefon pihak polis.
Dia akhirnya terjun dari tingkap bangunan itu sebelum terjatuh di atas sebuah kereta dan dibantu orang ramai.
Insiden itu menyebabkan mangsa cedera parah dan dibawa ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut.
Sirin menjelaskan, dia diculik dan diseksa lelaki Iran yang turut berniat menjual dirinya.
Seorang saksi, Sahin Iyidilli berkata, dia berada di dapur ketika mendengar jeritan dari luar.
“Apabila saya melihat ke luar tingkap, saya terdengar Sirin menjerit, ‘Saya mahu mati’,” katanya kepada laman berita Turki Haberler.
Sumber: Utusan |