[size=0.8]Oleh Zatul Iffah Zolkiply dan Baharom Bakar - September 14, 2021 @ 8:15pm[email protected]
Gambar hiasan. - Foto fail NSTP
KUALA TERENGGANU: Seramai 7,629 orang atau empat peratus daripada 174,510 murid daripada golongan B40 di Terengganu dikategorikan sebagai tercicir atau tidak mengikuti mana-mana sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sehingga Julai lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahri Mamat berkata, daripada jumlah itu, 166,881 murid mengikuti PdPR susulan pandemik COVID-19.
"Istilah cicir di sini bermaksud mereka tidak ikuti mana-mana sesi PdPR pada tempoh berkenaan dan perkara ini diambil serius kerajaan negeri dengan beberapa tindakan dijalankan pihak sekolah termasuk mengadakan kunjungan atau panggilan telefon kepada keluarga murid-murid berkenaan.
"Selain itu, libat urus dengan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) yang dilaksanakan di semua Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di Terengganu juga turut membantu memberi penerangan mengenai PdPR dan membuka ruang kepada mereka untuk memberi bantuan khususnya menjejaki murid yang gagal mengikuti PdPR supaya mereka tidak tercicir.
"Bagi memastikan PdPR diikuti semua pelajar di Terengganu, pihak Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu membangunkan satu sistem PdPR bagi memantau pembabitan pelajar dalam PdPR menggunakan tiga kaedah.
"Kaedah yang digunakan adalah PdPR secara dalam talian sepenuhnya, PdPR secara luar talian seperti edaran bahan bercetak terutama kepada murid yang tiada peranti dan akses internet dan gabungan PdPR secara dalam talian atau luar talian," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan bertulis mengenai keupayaan pelajar di Terengganu dalam memenuhi keperluan PdPR khususnya dalam kalangan B40 yang dikemukakan Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman (BN-Seberang Takir) pada Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-14 di Wisma Darul Iman di sini hari ini.
Satiful Bahri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paka itu berkata, kerajaan negeri turut menyediakan 20 Pusat Internet Akses Rakyat (PINTAR) bagi kemudahan pelajar untuk mengikuti PdPR secara percuma.
Katanya, pusat berkenaan menawarkan kemudahan komputer dan akses kepada internet selain turut memberi bantuan peranti, komputer, tablet kepada murid sekolah rendah dan sekolah menengah.