Bekas pengawal keselamatan didenda sebanyak S$4,500 (RM13,925) kerana mencampurkan cecair pembasmi kuman ke dalam botol air rakan sekerjanya.
Lapor Today Online, Dilip Kumar Gobind, 49, berkata, dia melakukan perbuatan itu kerana mahu ‘membersihkan mulut rakan sekerjanya’ yang sering bergosip mengenai orang lain.
Gambar hiasan
Dia juga memaklumkan tindakannya itu sekadar gurauan.
Rakyat Singapura itu mengaku bersalah atas satu pertuduhan melakukan perbuatan dengan penggunaan bahan berbahaya yang boleh mencederakan Rozanah Yassin.
Dilaporkan, kedua-dua individu itu bekerja sebagai pengawal keselamatan di kondominium Laguna Green di Bedok.
Ketika kejadian, Rozanah sedang melakukan rondaan dan selepas kembali ke pondok kawalan, dia meminum air dari botolnya.
Kondominium Laguna Green di Bedok
“Dia kemudian menyedari air botol minumannya mempunyai rasa pembasmi kuman yang kuat dan bertindak meludah keluar.
“Rozanah turut berasa sakit tekak dan memaklumkan perkara itu kepada pengurusnya,” jelas laporan itu.
Selepas memeriksa rakaman kamera litar tertutup (CCTV), pihak pengurusan mendapati Dilip telah mencampurkan cecair pembasmi kuman dalam botol air Rozanah.
Mangsa kemudian membuat laporan polis selepas kejadian itu.
Ketika perbicaraan mahkamah, Dhilip mengakui dia kesal dengan perbuatannya dan berjanji tidak akan mengulangi lagi.
Sumber: Utusan |