[size=0.8]Oleh Hidayatidayu Razali - Oktober 7, 2021 @ 4:17pm[email protected]
Ada tujuh kes jangkitan COVID-19 varian Delta di Kota Bharu. - Foto hiasan NSTP
KOTA BHARU: Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) mengesahkan 52 jangkitan COVID-19 membabitkan varian Delta dan Beta di Kelantan, sehingga semalam.
Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Zaini Hussin, berkata sampel varian Delta ialah 26 kes termasuk 12 jangkitan yang direkodkan dalam tempoh kurang daripada dua minggu ini.
Katanya, jumlah kes bagi varian Beta sebanyak 26 kes.
"Pertambahan varian delta ini merisaukan kerana jangkitan ini sudah ada dalam komuniti menyebabkan kes harian COVID-19 di Kelantan masih lagi tinggi iaitu melebihi 1,000 kes sehari.
"Kes varian Delta dan Beta itu membabitkan sembilan daerah iaitu Tumpat sebanyak 14 kes (tiga Delta, 11 Beta); Kota Bharu sembilan kes (tujuh Delta, dua Beta); Tanah Merah lapan kes (satu Delta, tujuh Beta); Pasir Mas tujuh kes (tiga Delta, empat Beta); Pasir Puteh mencatatkan tiga kes Delta.
"Machang dan Gua Musang masing-masing dua kes Delta dan Jeli satu varian Delta," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Dr Zaini berkata, walaupun tiada sampel yang menunjukkan varian Delta di Kuala Krai dan Lojing tetapi kemungkinan varian yang sama juga turut merebak ke jajahan berkenaan.
"Kita menasihatkan masyarakat supaya terus patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) memandangkan varian Delta dan Beta semakin menular.
"Walaupun sudah mengambil vaksin, namun kita semua perlu menjaga diri dan kesihatan untuk mengelakkan jangkitan COVID-19," katanya.