Chukai: "Saya bergegas pulang ke rumah dan sempat menyelamatkan ibu serta dua anak," kata Mohd Daie Suhaimi selepas rumah teresnya di Kampung Gong Limau, dekat sini, musnah dalam kebakaran, hari ini.
Kebakaran pada 2.30 petang itu turut merebak dan memusnahkan lima lagi rumah teres bersebelahan.
Mohd Daie, 35, yang ketika itu sedang bertugas sebagai pengawal keselamatan di sekolah bergegas pulang sebaik dihubungi ibunya, Norhasnifah Yusof, 57.
"Saya bergegas pulang dan sebaik tiba, didapati ruang tamu rumah dipenuhi asap tebal sementara ibu dan dua anak saya berusia tujuh dan empat tahun sedang menangis.
"Keadaan asap tebal memenuhi ruang tamu rumah menyebabkan ibu dan anak panik kerana tidak tahu berbuat apa-apa," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.
Menurutnya, dia bersyukur selepas berjaya menyelamatkan ahli keluarganya itu biarpun tidak sempat menyelamatkan harta benda.
Katanya, rumah teres itu memang tiada tingkap kiri dan kanan menyebabkan asap tidak keluar sehingga menyukarkan usahanya untuk masuk menyelamatkan harta benda.
"Saya sedih kerana gagal menyelamatkan dokumen penting sehinggakan kami tinggal sehelai sepinggang.
"Bagaimanapun, saya bersyukur kerana dapat menyelamatkan ibu dan dua anak," katanya.
Seramai 22 anggota dari Balai Bomba Dan Penyelamat (BBP) Chukai dengan bantuan anggota Pasukan Bomba Sukarela Kemaman, Kijal dan Felda Seberang Tayor bergegas ke tempat kejadian.
Mereka berjaya menyelamatkan 14 rumah lagi daripada turut terbakar dan kebakaran cepat merebak kerana struktur binaan bumbungnya bersambung antara satu sama lain.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, enam rumah terbabit didiami 30 mangsa dan mereka akan ditempatkan di Dewan Sivik Kampung Gong Limau.
Beliau berkata, pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan menyediakan semua peralatan diperlukan mangsa selain bekerjasama dengan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) untuk menyalurkan bantuan bersesuaian.