|
Khazanah hiburan klasik
Oleh Norakmah Mat Youb
Johari memiliki lebih 3,000 koleksi piring hitam, majalah hiburan
dan poster artis era 1950-an
ALUNAN lagu klasik yang berkumandang daripada corong radio, reka letak dan himpunan koleksi bahan hiburan klasik yang memenuhi kediaman di Kampung Datok Keramat, Kuala Lumpur, membuatkan seolah-olah bagaikan berada pada hiburan era 50-an.
Tiada siapa menyangka bermula dengan minat mengumpul majalah lama hasil sikap berjimat cermat dan menabung 10 sen setiap hari ketika bersekolah rendah, kini Johari Shariff, 57, boleh berbangga kerana mempunyai lebih 3,000 koleksi piring hitam, majalah hiburan dan poster artis sejak tahun 50-an.
Kediamannya yang menempatkan Galeri Indah Klasik, menghimpunkan pelbagai bahan hiburan klasik daripada 1950-an hingga kini termasuk majalah, piring hitam, poster artis veteran dan buku berkenaan dunia hiburan hasil usahanya mewujudkan khazanah klasik untuk tatapan generasi akan datang.
Antara himpunan menariknya ialah poster filem Melayu sejak zaman Studio Jalan Ampas di Singapura, lagu klasik, majalah, piring hitam dan gambar artis terkenal. Kebanyakan koleksi Johari yang lebih dikenali sebagai Abang Joe, ibarat arkib bergerak.
Koleksi lagu klasik Johari, termasuk dendangan penyanyi tahun 1940-an seperti S Abdullah, A Rahman, Julia, R Azmi, S Hamid dan Jasni. Poster filem pula termasuk Gerhana (Bat Latif memenangi anugerah Pelakon Kanak-Kanak Terbaik Asia melalui filem ini), Nujum Pak Belalang (Anugerah Filem Komedi Terbaik) dan Raja Bersiong (filem warna pertama).
RADIO lama masih boleh digunakan.
Ramai kagum dengan kejelitaan heroin berpinggang ramping dan ketampanan hero yang amat menjaga gaya daripada hujung rambut hingga ke kasut. Tidak kurang berpandangan bahawa artis lama lebih berani ketika bergambar," katanya.
Beliau berkata, koleksi ini sekurang-kurangnya membantu generasi muda mengenali dan mengingati kembali dunia hiburan yang pernah diwarnai artis veteran suatu ketika dulu selain melihat keunikan watak atau lagu yang dinyanyikan.
"Saya tidak sangka minat ini menjadi amat bernilai hari ini. Ketika di sekolah rendah Jalan Pasar, Kuala Lumpur, saya menyimpan 10 sen daripada 20 sen duit belanja untuk beli majalah dan piring hitam. Majalah ketika itu berharga antara 30 hingga 50 sen.
"Zaman dulu, promosi filem sangat unik kerana pekerja syarikat filem naik lori masuk kawasan perumahan. Ketika promosi filem Seniman Bujang Lapuk ia sangat meriah. Poster besar pelakon utama diarak atas lori dan ada petugas mengedarkan poster kecil kepada orang ramai," katanya.
ANTARA koleksi piring hitam pertama
Johari berkata, Galeri Indah Klasik yang berusia 16 tahun itu bermula dengan nama Indah Klasik Studio, ditubuhkan hasil titik peluhnya dengan sokongan padu isteri tercinta, Normala Omar.
Galeri itu kini menghimpunkan kira-kira 2,000 piring hitam dan 4,000 majalah hiburan klasik, dianggap sebagai lokasi yang menempatkan khazanah warisan budaya bangsa selain mengimbau kembali zaman hiburan silam.
"Saya sangat berbangga kerana galeri ini sering menjadi rujukan oleh pelbagai pihak. Dikunjungi pelajar, penyelidik, peminat dunia hiburan dan pelancong asing untuk melihat secara dekat keistimewaan bahan hiburan klasik," katanya.
Bagi merealisasikan minat mendalam itu, beliau yang satu ketika bertugas sebagai kakitangan sebuah bank sanggup berhenti kerja pada 1986, semata-mata untuk menumpukan sepenuh perhatian mengumpul bahan hiburan klasik yang dilakukannya selama ini.
"Tindakan saya berhenti kerja 24 jam mendapat tentangan pelbagai pihak. Ia dianggap mengundang padah kerana mereka tidak melihat masa depan koleksi ini, tetapi Alhamdulillah saya berjaya membuktikan minat saya ini tidak sia-sia akhirnya mereka menghargai perjuangan saya itu," kata anak kelahiran Kuala Lumpur itu.
Atas kesinambungannya dalam memartabatkan khazanah budaya bangsa, Johari juga pernah menerbitkan dua buku bertajuk Poster Filem Melayu dan Biodata Artis serta Bintang-Bintang Gemerlapan.
Kini, pelbagai koleksi eksklusifnya menjadi rebutan kerana sukar diperoleh. Malah, ada pihak sanggup menawar ribuan ringgit untuk memilikinya.
"Setakat ini, belum tergerak hati untuk menjual koleksi ini. Walaupun boleh mendapat keuntungan mudah," katanya sambil menambah koleksinya bukan untuk jualan dan sebaliknya lebih suka membuat pameran untuk berkongsi pengetahuan.
"Saya mahu orang muda mengenali warisan bangsa yang kini sukar diperoleh, manakala bagi peminat lama dapat menghilangkan rindu," katanya yang kini tidak keseorangan meneruskan minatnya kerana dua anaknya, Ahmad Nur Fitri, 25, dan Nur Bahyah, 19, mengikut jejak langkahnya.
FAKTA: Galeri Indah Klasik
* Ditubuhkan 16 tahun lalu dengan wang simpanan Johari.
* Mempunyai koleksi kira-kira 3,000 piring hitam dan 4,000 majalah hiburan lama.
* Majalah hiburan lama dikumpul Johari sejak zaman sekolah dengan menyimpan wang 10 sen sehari.
* Antara album klasik miliknya ialah penyanyi dekad 40-an seperi S Abdullah, A Rahman, Julia, R Azmi, S Hamid dan Jasni.
* Poster filem termasuk Gerhana, Nujum Pak Belalang, Raja Bersiong.
* Menyimpan majalah Gelanggang Filem Dunia Filem dan Arena Mastika.
aku rasa dia bagus en johari ni tak nak jual barang2 sejarah tu tapi lebih bagus gak kalu dia dapat pinjamkan kat muzium (muzium leh sewa dari dia dgn bayaran yg berpatutan) org ramai boleh tengok dan dapat berkongsi sama galeri indah klasik ni... tu pendapat aku aje. |
|