CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 7100|Reply: 2

Mengimbau pilihan raya

[Copy link]
Post time 18-2-2008 12:34 PM | Show all posts |Read mode
Mengimbau pilihan rayaOleh Ziauddin Sharuddin
[email protected]

TUNKU Abdul Rahman sedang berucap ketika berkempen di Perak dalam Pilihan Raya Umum 1959


Pilihan raya lalu jauh berbeza: Kemiskinan menyebabkan calon ketika berkempen membawa gula, teh dan biskut, untuk diberikan kepada tuan rumah

GENDANG sudah dipalu dan hanya menanti tari mengikut rentak. Pengumuman pembubaran Parlimen oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, Rabu lalu, akhirnya menjawab teka-teki mengenai pilihan raya umum ke-12.

Bagaimanapun, demam pilihan raya sebenarnya sudah melanda seluruh pelusuk negara sejak berbulan-bulan lalu.

Apabila gendang dipalu secara rasmi, bermakna bilik gerakan parti politik yang sudah dibuka kini mula beroperasi. Poster dan bendera pula sedia ditampal dan digantung. Di kalangan parti politik, senarai calon yang bakal bertanding kini memasuki peringkat akhir sebelum diumumkan.

Bagaimanapun, pilihan raya bukan hanya untuk ahli politik. Inilah masa rakyat menjadi raja untuk membuat pemilihan bijak hanya sekali dalam tempoh lima tahun.

Walaupun zaman berubah, pilihan raya tetap sama, tetapi kaedah berubah. Ketika berceramah di khalayak ramai masih menjadi cara berkempen popular, kemajuan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) menyebabkan saluran internet seperti laman web dan blog mula menjadi pilihan.


SISWA Institut Teknologi Mara (ITM) membantu proses pengiraan undi di Universiti Malaya pada 1969.



Begitu juga Sistem Pesanan Ringkas (SMS) yang turut dijadikan saluran berkempen. Itulah bezanya pilihan raya dulu dan sekarang.

SUDAH terang lagi bersuluh. Ketibaan pilihan raya umum ke-12 amat dinanti-nantikan, terutama di kalangan pengundi baru. Jika sebelum ini hanya melihat dan mendengar cerita orang lain, kali ini berpeluang memasukkan sendiri kertas undi ke dalam peti.

Mereka yang pernah mengundi juga menantikan kehadiran pilihan raya untuk menunaikan tanggungjawab dan hak sebagai warga negara memilih calon dan parti yang membentuk kerajaan serta memerintah negara.

Menjelang pilihan raya umum ke-12, sebahagian besar penduduk negara tidak tahu atau ingat permulaan pilihan raya umum di negara ini.
Pilihan raya pertama diadakan pada zaman penjajahan Inggeris, iaitu pada 27 Julai 1955, bertujuan menubuhkan Majlis Mesyuarat Persekutuan.

Dalam pilihan raya yang membabitkan 52 kerusi, Parti Perikatan yang dianggotai Umno, MCA dan MIC bertanding di semua kawasan. Pencabar utama, Parti Negara meletakkan 33 calon dan Pas 14 calon.

Persatuan Kebangsaan Perak, Liga Melayu Perak dan Parti Progresif Rakyat (PPP) hanya bertanding di Perak. Seramai 18 calon bebas turut bertanding di seluruh negara.

Dalam suasana kebangkitan rakyat untuk mendapat pemerintahan sendiri, Perikatan pimpinan Tunku Abdul Rahman, mendapat kepercayaan pengundi dengan menang besar apabila meraih 51 kerusi. Baki satu kerusi menjadi milik Pas.

Selepas kemerdekaan, Perlembagaan Persekutuan menetapkan bahawa pilihan raya umum mesti diadakan sekali dalam tempoh lima tahun atau dewan dibubarkan lebih awal. Berikutan itu, pilihan raya pertama selepas kemerdekaan diadakan pada 1959.

Sebanyak 11 pilihan raya umum diadakan dengan kali terakhir pada 2004. Sepanjang tempoh itu, perubahan yang berlaku sejajar dengan kepesatan kemajuan negara menyebabkan pilihan raya pada peringkat awal sukar digambarkan oleh generasi sekarang.

Bayangkan ketika negara baru mencapai kemerdekaan dengan pelbagai kekurangan dari segi kemudahan jalan raya, bekalan elektrik hanya di kawasan bandar, manakala sebahagian rakyat dibelenggu buta huruf.
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 18-2-2008 12:43 PM | Show all posts
Mengimbas suasana ketika itu, Tan Sri Aishah Ghani, 85, yang bertanding di Parlimen Setapak pada pilihan raya umum 1959, banyak menyimpan pengalaman pahit manis ketika rakyat masih mentah dari segi pengalaman pilihan raya.

Pada tahun itu, Aishah tewas kepada Ahmad Boestaman, tetapi menang pada pilihan raya umum 1974, 1978 dan 1982 di Parlimen Kuala Langat.

"Kalau dibandingkan zaman dulu dan sekarang, pengundi sekarang jauh lebih canggih. Dulu pengundi perlu diajar kerana ramai yang bukan saja tidak boleh membaca dan menulis, malah tidak biasa mengundi.

"Saya bukan saja berkempen untuk kemenangan Perikatan, tetapi mengajar pengundi cara memangkah kertas undi," katanya.

Pada awal 1960-an, katanya berkempen di Selangor tidak sesukar menjelajah negeri Pantai Timur seperti Kelantan dan Terengganu.

Kebanyakan kampung di pedalaman negeri itu, katanya tidak mempunyai jalan yang boleh dimasuki kenderaan, termasuk basikal.

Bekas Pengerusi Tetap Pergerakan Wanita Umno itu memberitahu calon dan ahli parti terpaksa berjalan kaki dari sebuah kampung ke kampung lain. Walaupun penat, terpaksa menggagahkan diri demi parti.

Katanya, kemiskinan menyebabkan calon ketika berkempen membawa gula, teh dan biskut, untuk diberikan kepada tuan rumah.

"Mereka terlalu miskin hingga tidak sampai hati datang dengan tangan kosong. Walaupun miskin, penduduk kampung sudi meluangkan masa untuk mendengar penerangan mengenai perjuangan Perikatan," katanya.

Berbeza dengan sekarang, katanya pilihan raya umum peringkat Parlimen dan Negeri pada 1959 tidak diadakan serentak. Pilihan raya Negeri diadakan pada Mei, manakala Parlimen berlangsung tiga bulan kemudian.

Katanya, ini menyebabkan keputusan peringkat Negeri memberi kesan terhadap pilihan pengundi peringkat Parlimen.

Veteran Umno Melaka, Tan Sri Abdul Aziz Tapa, 84, hanya bertanding pada pilihan raya umum 1978, tetapi aktif dalam politik sejak sebelum merdeka dan mempunyai banyak pengalaman berkaitan pilihan raya.

Antara pengalaman lucu yang masih diingat ialah seorang pengundi menggigil selepas keluar dari pusat mengundi.

"Saya tanya mengapa menggigil. Lelaki itu beritahu saya, dia hendak mengundi kapal layar (lambang Perikatan), tetapi pada kertas undi, dia menulis tanda betul dan bukan pangkah. Dia keliru kerana tanda betul digunakan dalam kebanyakan urusan harian," katanya.

Faktor perubahan zaman, katanya menyebabkan kerja memasang poster dan bendera kini perlu dibayar.

Hingga akhir tahun 1970-an, katanya secawan kopi dan kuih sudah mencukupi sebagai tanda terima kasih kerana ahli parti lebih mengutamakan perjuangan parti.

Pada 1959, Abdul Aziz memberitahu beliau hanya ahli biasa parti, tetapi bekerja keras untuk memenangkan calon Perikatan.

"Satu perkara yang tidak berubah sejak dulu hingga sekarang, suasana pilihan raya umum meriah seperti pesta. Poster dan bendera dipasang di mana-mana. Saya bersyukur kerana di Melaka, walaupun persaingan antara parti hebat, pilihan raya berlangsung dalam keadaan aman," katanya.

Zaman berubah, pilihan raya tetap sama, tetapi kaedah berubah. Ketika berceramah di khalayak ramai masih menjadi cara berkempen popular, kemajuan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) menyebabkan saluran internet seperti laman web dan blog mula menjadi pilihan.

Begitu juga Sistem Pesanan Ringkas (SMS) yang kegunaannya bukan hanya digunakan untuk mengundi peserta Akademi Fantasia,

Jika pada zaman awal kemerdekaan, pengisian kemerdekaan seperti kemudahan asas, jalan raya, bekalan air dan elektrik dan peluang pendidikan menjadi isu utama, isu itu masih relevan hingga hari ini, ditambah dengan pelbagai perkembangan semasa.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 18-2-2008 12:47 PM | Show all posts
Perang poster meriahkan suasana
Oleh Ziauddin Sharuddin
[email protected]



GOLONGAN wanita turut aktif berkempen pada Pilihan Raya Umum 1955.


APAKAH perkara paling menonjol sepanjang kempen pilihan raya umum di Malaysia? Mungkin ramai bersetuju bahawa perang poster di kalangan parti politik bertanding amat menarik.

Walaupun kempen pilihan raya boleh dilakukan dengan cara mengedarkan risalah dan surat, ceramah tertutup dan umum serta bersemuka dengan pengundi dari rumah ke rumah, memasang poster dan bendera masih menjadi pilihan utama.

Persimpangan dan bulatan jalan raya, tiang lampu dan pokok adalah antara tempat yang sering menjadi tumpuan petugas parti untuk meletakkan poster dan bendera parti. Ada yang lebih hebat dengan membina papan tanda besar untuk ditampal poster.



Walaupun tidak boleh bercakap, lebih banyak bendera dan poster di sesuatu kawasan, maka parti terbabit dikatakan mempunyai pengaruh lebih kuat.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abd Rashid Rahman, sendiri mengakui kehebatan perang poster pada pilihan raya umum di negara ini yang kadang-kadang menimbulkan pelbagai masalah.

Beliau yang menyertai SPR pada 1979 sebagai Setiausaha dan dilantik sebagai Pengerusi pada 2001 berkata, keadaan itu wujud sejak pilihan raya sebelum merdeka lagi sebagai antara cara berkempen.

揔eadaan itu berterusan hingga sekarang. Bagaimanapun, keadaan sekarang lebih teruk. Pilihan raya belum tahu lagi, poster sudah dipasang dan bendera terpacak di sana-sini,
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT


Forum Hot Topic

 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

19-12-2024 12:23 AM GMT+8 , Processed in 0.260233 second(s), 14 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list