Para penumpang terkandas di ruang daftar masuk Lapangan Terbang Fiumicino, Rom akibat mogok oleh pekerja dan juruterbang Alitalia, kelmarin.
ROM 11 Nov. - Para pekerja transit dan kereta api di sini semalam melancarkan mogok dengan membuat huru-hara di stesen komuter dan menjejaskan sistem pengangkutan awam di bandar raya ini.
Jalan raya penuh sesak kerana orang ramai memilih menggunakan kenderaan sendiri untuk ke tempat kerja daripada menggunakan pengangkutan awam.
Mogok itu tercetus apabila pekerja-pekerja transit dan kereta api mendesak kerajaan dan syarikat-syarikat pengendali kenderaan awam membuka semula rundingan untuk pembaharuan kontrak.
Kementerian Pengangkutan Itali hari ini mengarahkan para penunjuk perasaan untuk kembali bekerja dan akan mengenakan penalti jika mereka tidak mematuhi arahan tersebut.
Sementara itu, bantahan berasingan oleh kakitangan dan juruterbang syarikat penerbangan Alitalia menyebabkan penangguhan dan pembatalan penerbangan serta mengakibatkan pelancong terkandas di Lapangan Terbang Leonardo da Vinci, di sini.
Menurut Alitalia, tiada kiraan rasmi mengenai jumlah penerbangan yang dibatalkan tetapi senarai dalam laman webnya menunjukkan sekurang-kurangnya 50 penerbangan antarabangsa dan domestik terpaksa dibatalkan, semalam.
Jurucakap lapangan terbang tersebut, Adriano Franceschetti berkata, mogok berkenaan dilancarkan bagi menentang pelan menyelamatkan Alitalia daripada muflis yang dianggap menekan para pekerja.