CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 6934|Reply: 17

Kisah pelacur bersijil di Republik Islam Iran.

[Copy link]
Post time 20-6-2010 09:23 PM | Show all posts |Read mode
SAYA berehat setelah puas menyusuri jalan Valiasr, jalan  terpanjang sejauh 17 kilometer yang memisahkan metropolis Tehran kepada  bahagian barat dan bahagian timur. Cuaca nyaman pada musim bunga, bulan  Khordad, bulan ketiga dalam kalendar Parsi.

Menjejak ruang dalam kesibukan kota yang dipenuhi paradoks.  Antara  kaya dan miskin. Antara chador dan skirt. Syiah dan Barat. Maju dan  mundur.

Seketika di jalan Valiasr, pelbagai imej dan persepsi yang mengheret  minda pun terburai dan terdampar. Mengejutkan, kota Tehran tiba-tiba  berwajah kosmopolitan. Pembangunan di mana-mana, kalau diukur dengan  menara dan apartmen. Tidak semua buruk seperti yang digambarkan media  Barat dan tentunya tidak seindah yang dipaparkan propaganda tempatan.  Bergantung kepada lokasi, lokasi dan lokasi.   

Benarlah kata seorang sahabat Facebook dari Iran, dunia tidak memahami  Iran. Sebenarnya saya semakin keliru dalam perspektif yang mula  menganjak ke fragmen-fragmen berwarna suram. Wajah-wajah menyambar  imaginasi. Senyuman mendambarkan kemesraan.

Lantas dari sehari kembara, dalam keletihan, saya mula melihat Iran  dari sentuhan santai. Memesrakan suasana tanpa persepsi yang mengasak  keinsafan di tengah-tengah kota Tehran. Sebuah kota tua dengan penduduk  melebihi sembilan juta orang. Kota yang berlatar belakang pergunungan  Alborz memaparkan kontradiksi. Merakamkan sejarah dan peristiwa dari  peradaban silam ke revolusi dan masa kini. Setahun selepas suara protes  dengan demonstrasi memenuhi pusat kota, protes terhadap presiden. Protes  yang masih membakar kemarahan marhaen.
Maka di luar dari skrin CNN, BBC, Fox, CNBC mahupun Al-Jazeera, saya  menjadi wartawan dalam diri seorang blogger yang mencerna segala  maklumat dalam sebuah catatan tanpa prejudis.

Massoud, rakan bisnes yang menjadi wakil syarikat di Tehran menarik  saya ke lorong belakang. Katanya, ada kehidupan, realiti semasa yang  menjalari lorong-lorong belakang. Kebetulan kami berada di bahagian  selatan Valiasr. Kawasan hangat di mana Ayatollah Ruhollah Khomeni  pernah menetap selepas pulang pada kala revolusi.
   Menurut Massoud, daripada perbualan yang didengar menyusuri kaki lima,  kesemuanya rungutan dan komplen mengenai harga barang yang semakin naik,  penyelewengan pentadbiran dan pembohongan ahli-ahli politik, yang  memungkiri janji-janji pilihan raya.

Kebetulan ada jerebu memenuhi ruang. Seakan membawa ke satu daerah  dalam zon twillight. Kelabu dan berdebu.

“Jerebu membawa mood kurang baik.” Sepatah komen Massoud sambil  menghisap rokok.
Singgah di sebuah kedai runcit kepunyaan bapa saudara Massoud,  bernama Mehdi.
Apabila kami masuk, kelihatan rak-rak hampir kosong. Yang tinggal  hanya beberapa barangan dalam kotak-kotak kecil. Mengejutkan.

“Saya tidak mempunyai wang yang cukup untuk membeli stok baru. Dalam  inflasi yang tinggi menjadikan harga borong turut naik ke paras yang  melebihi jangkauan. Malah ada produk tertentu yang naik sehingga enam  belas peratus setelah dua pembelian. Mengerikan sekali. Kedai ini  dikunjungi lebih ramai peminta sedekah daripada pembeli. Malah kalau  lihat dari mesin tunai yang kosong, saya boleh sahaja menjadi peminta  sedekah!”

Mehdi bercakap perlahan dalam bahasa Inggeris yang bercampur baur.  Masih boleh difahami.

“Berapa sewa kedai ini?” Tanya saya sambil melihat ruang kecil  berukuran 7 meter panjang dan 6 meter lebar. Siling rendah.

Mehdi tersenyum.

“Dalam USD 200 sebulan. Tiada tandas, tiada penghawa dingin, tiada  pemanas udara dan tikus berkeliaran. Inilah yang termurah.”

Saya dapat merasakan kekecewaan daripada suara Mehdi. Katanya dia  tiada pilihan. Berniaga memerlukan banyak pengorbanan dan tidak semudah  yang dijangka.

“Negara ini melucukan, ada yang boleh menjadi jutawan sekelip mata.  Lihat di seberang sana, ramai yang beratur panjang di kaunter  supermarket dan bergaduh untuk merebut susu. Bagaimana boleh kami terus  menyambung kehidupan yang sudah dalam keadaan daif kalau kerajaan  memotong subsidi demi subsidi?”

Pertanyaan itu bergema ke seluruh gegendang. Melihat wajah serius  Mehdi memaparkan suasana yang selama itu tidak termasuk dalam persepsi  dan bayangan mengenai Iran. Sebuah negara yang kaya dengan hasil minyak  dan sedang membina sebuah jana kuasa nuklear. Mungkinkah embargo dan  pelbagai sekatan sudah membawa kesan yang diinginkan oleh sekutu Yahudi  bernama Amerika? Pastinya, Iran bukan sekadar bermusuhan dengan rejim  zionis, malah dengan jiran dikalangan negara-negara Islam juga. Sama ada  kerana berlainan mazhab atau berlainan ideologi atau sejarah silam. Ya!  Iran semakin terasing di tengah-tengah sekutu seagama.

“Pagi tadi ada dua orang wanita berchador datang mahu membeli ubat  gigi. Saya tidak menyedari yang mereka telah mencuri banyak ubat gigi  dengan menyorok di bawah chador. Bayangkan keadaan mereka yang lain  dalam kemiskinan. Bayangkan suri rumah terpaksa mencuri dan hukuman  mencuri adalah potong tangan!”

Percakapan sebegitu mungkin banyak tersiar dalam blog mereka yang  mahu memberitahu keadaan sebenar. Blog-blog yang semakin banyak ditutup  kerana dituduh melontar fitnah dan mengancam keselamatan negara. Walau  ada kebebasan bersuara, tidak pasti kebebasan selepas bersuara. Kata  Massoud, ramai yang sudah dihadapkan ke mahkamah walau pertuduhan tidak  lebih mahu menutup mulut dan menyusahkan para pengkritik yang mahukan  sebuah negara Iran yang lebih baik.

Dengan enam puluh peratus penduduk kota Tehran di bawah usia 25  tahun, tentunya sebuah kota yang vibrant dan perlukan keseronokan. Ceria  dan penuh dengan kemeriahan anak-anak muda. Generasi yang lahir selepas  revolusi dan mahu seiring di pentas dunia, daripada gambaran filem,  internet, buku, majalah dan akhbar.

Saya semakin menjadi gelisah dalam cuba memahami apakah yang  sebenarnya sedang berlaku. Sebagai pemerhati dari Dubai, selalu  menganggap Iran mempunyai sistem demokrasi yang baik, bebas dan adil.  Pilihan raya demi pilihan raya yang telus memberikan peluang untuk  rakyat memilih pemimpin dan haluan negara. Bukan di bawah diktator dan  raja yang memerintah untuk survival diri.

“Saya hanya mampu menampung perbelanjaan keluarga daripada  pendapatan isteri yang bekerja di sebuah bank dengan gaji sebanyak  USD300 sebulan. Sewa apartmen tiga bilik kami di sebuah kawasan  sederhana adalah sebanyak USD450, bayar USD50 untuk air, elektrik dan  telefon, manakala yuran sekolah anak sebanyak USD100, ditambah  perbelanjaan lain, makanan sebanyak USD300 sebulan. Semakin hari semakin  sesak, kedai ini tidak dapat lagi membantu untuk pendapatan, lebih  teruk lagi, pemilik kedai tidak akan bertolak ansur, kalau lambat sahaja  bayar, mahu terus menghalau!”

Mehdi meneruskan kisah sedih kehidupannya. Seperti kata Massoud,  kisah yang boleh diulang oleh jutaan penghuni Tehran yang lain, mereka  yang semakin tertekan dalam keriuhan pemimpin mempertahankan pembinaan  jana kuasa nuklear dan mahu menjadi hero kepada setiap isu berkaitan  perjuangan keadilan sejagat.
Sedangkan kemiskinan semakin melumpuhkan sebahagian dari mereka yang  masih bertahan kerana patriotisme.

Massoud kemudian membawa saya ke apartmen kecil seorang lagi  rakannya, Rostam, seorang peguam aktivis hak-hak asasi. Selepas  diperkenalkan, Rostam terus sahaja menyumpah-nyumpah, talian internet  yang sentiasa terputus dan terganggu.
Tidak berfaedah untuk menelefon pusat khidmat pelanggan kerana  belum pernah panggilannya dijawab walau sudah beribu kali mencuba.

“Saya tidak boleh langsung membuka e-mel sejak sebulan lalu. Apakah  ini masalah perisian dan virus? Atau masalah teknikal perkakasan? Atau  apakah ini sebahagian daripada kerja-kerja perisikan? Mungkin kerana  kegiatan saya menyebabkan saya menjadi sasaran?”

Pertanyaan yang tidak mungkin dapat saya jawab. Walau syarikat saya  membekalkan modem untuk pasaran Iran. Tidak kena-mengena dengan  pengendali internet dan syarikat Telekomunikasi, sekadar pembekal bebas.  Itupun seperti kata Massoud, banyak duit kopi yang terpaksa diagihkan  untuk mendapat pelbagai kelulusan.

“Bukan sahaja internet semakin diganggu untuk mengurangkan protes  maya, malah perbualan telefon juga tidak selamat. Telefon bimbit saya  sentiasa tiada talian kalau mahu berhubung dengan pelanggan.”

Saya mendengar cerita Rostam mengenai anak-anak guam yang semakin  bertambah. Sama ada dari segi bilangan mahupun golongan, salah seorang  anak guamnya adalah anak perempuan mantan presiden sendiri yang dituduh  di bawah jenayah politik. Semakin ramai golongan terpelajar yang mula  bangkit untuk memprotes keadaan semasa. Lawan tetap lawan.

Ketidakadilan semakin ketara apabila mahasiswa yang memprotes  dianggap pengkhianat. Walhal, anak-anak muda yang pernah menjadi  pemangkin revolusi.
Suara rakyat suara keramat dan suara anak muda boleh mencetus  revolusi.
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 20-6-2010 09:24 PM | Show all posts
Rostam menunjukkan tajuk muka depan akhbar, kenyataan ketua polis Tehran dalam bahasa Parsi yang bermaksud, “Setiap demonstrasi haram memprotes ulang tahun pilihan raya presiden akan ditangani sekeras-kerasnya!”

Sejarah seakan berulang, begitu kata Massoud. Pemimpin tidak lagi mendengar rintihan rakyat. Sudah semakin jauh daripada apa yang diperjuangkan oleh Khomeini sewaktu menumbangkan Shah Iran.

Saya kembali ke hotel bersama imej-imej yang menjadikan kerlipan cahaya neon kota Tehran seakan pudar dan kelabu. Suara-suara rintihan marhaen menghimpit perasaan apabila melihat laporan mengenai sumber minyak yang sepatutnya menghasilkan puluhan bilion setiap tahun. Defisit bajet setiap tahun boleh memufliskan negara. Ke manakah perginya hasil negara selama ini?

Di kawasan legar hotel yang masih terpampang wajah Khomeini, beberapa rakan Massoud lain yang mengetahui saya datang dari Dubai, segera bertanya mengenai peluang lain dalam situasi dan iklim ekonomi yang masih tidak stabil. Terutama pertanyaan untuk membuka akaun bank di Dubai apabila tekanan daripada Kerajaan Amerika semakin kuat kepada Eropah dan Asia untuk menghentikan apa sahaja urusan ekonomi dengan Iran.


Mereka bercakap begitu sarkastik apabila nama presiden disebut, seolah-olah tidak lagi takut kalau ada perisik yang mendengar. Sudah tidak peduli kerana kata mereka, dalam keadaan semakin sukar untuk cari makan, ada baiknya juga kerajaan memberi mereka makan dalam penjara, apalagi setelah subsidi diberhentikan. Jenaka yang tidak lucu.

“Amerika akan gunakan apa sahaja untuk menekan Iran supaya tunduk kepada kehendak rejim Yahudi yang menggunakan Amerika sebagai proksi, selain pemimpin dan raja Arab yang lain. Iran tidak mungkin menghentikan program nuklear walau rakyat akan menderita. Itulah objektif Amerika, mahu rakyat Iran memberontak dan menggulingkan kerajaan yang ada, digantikan dengan seorang lagi boneka seperti di Iraq.”

Saya mendengar setiap hujah yang dilontarkan di meja makan malam.

Semakin rancak perbualan antikerajaan, sehingga pelawaan yang menyebabkan saya terkejut beruk. Apabila salah seorang mereka memberitahu kalau saya memerlukan teman tidur, seorang wanita Iran untuk beberapa malam selama di kota Tehran.
Boleh sahaja memilih, tua atau muda, bujang atau berkahwin, terpelajar atau artis.

“Semuanya boleh diaturkan, kamu boleh berkahwin mengikut tempoh masa, sah dan halal. Boleh bagi sijil pengesahan daripada pihak berwajib lagi!”

Pada mulanya saya menyangka sekadar gurauan. Walau pernah mendengar perkara yang sama, tetapi tidak pernah peduli kerana tidak pernah memerlukan khidmat sebegitu. Masih mempertahankan etika dan hukum agama. Apalagi berurusan di sebuah negara yang namanya ada perkataan Islam. Tentu menjalankan undang-undang Islam yang ketat, begitulah persepsi.

“Serius?” Saya bertanya dalam sedikit teruja. “Bukankah itu pelacuran yang dihalalkan?”

Massoud ketawa sambil berkata, laporan akhbar Entekhab mengatakan ada dalam 84 ribu pelacur di kota Tehran.

Saya menelan air liur. Dalam semangat mahu berurusan bisnes dengan sebuah lagi negara Islam, semakin terkeliru dan janggal. Semuanya begitu mengelirukan setelah minda dipenuhi persepsi berbeza. Seperti kata seorang sahabat, dari melihat urusan imigresen di lapangan terbang, selain keadaan lapangan terbang sendiri boleh menggambarkan keadaan sesebuah negara. Banyak negara Islam yang gagal sekadar melihat dari suasana dan buruknya lapangan terbang. Malah ada pegawai yang bukan sahaja tidak mesra pelanggan, malah awal-awal lagi meminta rasuah untuk memudahkan urusan imigresen dan visa.

“Kamu mahu melihat bagaimana urusan bisnes kupu-kupu malam di sini?”

Tiba-tiba soalan yang membawa ajakan daripada Massoud menjadikan saya tercabar untuk satu advencer di bumi yang pernah melahirkan ramai ulama dan intelektual Islam.

“Apakah tidak akan ditahan dan dipenjara?”

Massoud menggeleng, sambil menunjukkan ke arah salah seorang tetamu, Mohzen. Lelaki dari Qom.

“Abang dia kenal ketua perisik, tidak perlu takut, sebab itu juga kami berani mengutuk presiden. Laporan akan sampai ke meja ketua perisik sebelum tindakan boleh dibuat, dan selalunya kami terlepas sahaja!”

Saya tidak pasti sama ada mahu menerima pelawaan yang memang menarik. Menjejak kota Tehran pada waktu malam sambil melihat keadaan yang boleh memberi pengalaman baru kepada seorang ekspatriat Melayu. Jual beli, tawar menawar untuk khidmat bisnes tertua di dunia.

Begitupun, nafsu keinginan yang membara tiba-tiba menjadi lesu apabila terpandang sebuah artikel dari majalah yang ditunjuk Massoud. Ternyata, kemiskinan memang menjuruskan kepada kekufuran. Walaupun di sebuah negara kaya dengan hasil bumi, selagi jurang kaya dan miskin begitu besar. Semuanya menjadi statistik yang menggambarkan segalanya semakin songsang pada akhir zaman.

Ketua Statistik Iran mengumumkan seramai 10 juta dari 72 juta rakyat Iran hidup di bawah garis kemiskinan sepenuhnya, iaitu hidup dengan pendapatan USD600 sebulan untuk keluarga seramai enam orang dan 30 juta rakyat Iran hidup di bawah garis kemiskinan relatif dengan pendapatan USD900 sebulan.

Malam itu di kota Tehran, dari jalan Valiasr ke lorong-lorong belakang, saya tidak dapat tidur lena. Ketukan di pintu bilik hotel menambah kegerunan. Suara-suara rintihan bergema di setiap ruang.

Di bawah selimut, tiba-tiba teringatkan tanah air yang sudah lama ditinggalkan kerana mencari rezeki di perantauan. Bertanya tentang apa sahaja, walaupun tidak mungkin ada jawapan. Ke mana nanti anak-anak sendiri dan apakah ada cahaya di hujung terowong krisis ekonomi, krisis timur tengah dan krisis-krisis lain?

Tersambar memori lampau, permulaan yang memungkinkan jejak global. Kemiskinan mengubah hala tuju seorang anak kampung ke pentas bumi. Digamit rindu dari hembusan angin pergunungan Alborz, menyegarkan di balik seribu imej menggerunkan.

Ya! Apa khabar orang kampung?


PROFIL

FUDZAIL berkelulusan sains komputer & matematik dari New Zealand, pernah berkhidmat sebagai Pengurus IT di TV3 dan kini ekspatriat Malaysia yang bermastautin di Emiriyah Arab Bersatu (UAE) sejak 2000. Terbabit dalam pembinaan projek mega seperti Dubai Internet City dan Palm Jumeirah. Kini pakar runding untuk syarikat Turki, China dan Perancis di UAE. Pernah memenangi Hadiah Sastera Utusan, Johor dan Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2006/7. Antologi puisi Waikato diterbitkan oleh DBP pada 2001 dan antologi cerpen Dotkomania (DBP - 2009). Trilogi Travelog A0teAr0A dalam proses pembikinan. Beliau boleh dihubungi melalui e-mel [email protected] dan blog 1426.blogspot.com
Reply

Use magic Report

Post time 20-6-2010 10:33 PM | Show all posts
glad to be malaysian...
Reply

Use magic Report

Post time 22-6-2010 12:03 PM | Show all posts
Proud to be Malaysian,. Thankful
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 22-6-2010 10:07 PM | Show all posts
Konon nak buat nukliar lancar ke israel tapi rakyat sendiri hidup papa kedana di biarkan tenguklah betapa uzurnya sekolah di pendalaman iran...bangsa ni cakap besar je pandai...ikutkan negaranya bukan tak mampu kerana menjadi pengeluar minyak antara yg terbesar di dunia,walau disekat macam manapun minyak mudah di jual...rasuah tinggi sangat.













































Reply

Use magic Report

Post time 10-8-2010 08:35 PM | Show all posts
kuat islam pun pelacur ada jugak
Reply

Use magic Report

Follow Us
Post time 8-9-2010 10:27 PM | Show all posts
kenapa melayu selalu bangga dengan bangsa penghina sahabat rasulullah dan ada ulama mereka menghalalkan bunuh ahlul sunnah waljamaah??
Reply

Use magic Report

Post time 27-7-2011 04:36 PM | Show all posts
iran=parsi=zoroster=syiah=karbala
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 28-7-2011 09:23 AM | Show all posts
ensemnyer cikgu dier...
walau ape pun sangat bersimpati dengan keadaan diorang....walau payah mane pun tetap jugak pendidikan di ajar kepada anak2 kecil walaupun dengan kemudahan yang sangat minimum
Reply

Use magic Report

Post time 30-7-2011 02:40 AM | Show all posts
pening pening pening
Reply

Use magic Report

Post time 30-7-2011 08:15 AM | Show all posts
cerpen ini diambil dari berita Harian dengan tajuk

Cerpen: Lorong Belakang Valiasr
Reply

Use magic Report

Post time 31-7-2011 03:39 PM | Show all posts
kesian dgn anak2 kecil tu sume.. aku kalau boleh jdik volunteer aku pergi kot tp kene kuat mental dgn emosi lah..
Reply

Use magic Report

Post time 1-8-2011 10:48 PM | Show all posts
kalu xde pelacur pun, sana ada kawin mu'taah ~ kontrak,  serupa mcm pelacuran gak..
tu yg kt malaysia ramai org melayu nk syiah masuk, yalah, dpt kawin cmni..

:@

Mut’ah boleh terjadi dengan cara;

    Tanpa wali, saksi dan perisytiharan.[4]
    Di mana-mana sahaja di antara seorang lelaki dan seorang perempuan.
    Dengan perempuan Yahudi, Nasrani dan perempuan pelacur sekalipun.[5]
    Walaupun tidak mengetahui sama ada perempuan itu bersuami atau tidak.[6]
    Dengan perempuan dalam lingkungan umur yang tidak tertipu iaitu 10 tahun.[7]
    Dengan bayaran mas kahwin yang tidak terlalu besar, hanya memadai dengan segenggam gandum atau segenggam makanan atau buah tamar atau satu dirham bahkan kurang lagi dari satu dirham.[8]
    Dengan perempuan tanpa had. Ia tidak terbatas kepada empat orang sahaja.[9]
    Untuk jangkamasa tertentu seperti 2 tahun, 2 bulan, sebulan, seminggu atau sehari.[10]
    Dengan seseorang perempuan beberapa kali. Perempuan itu tidak haram kepadaa lelaki yang telah melakukan melakukan mut’ah dengannya walaupun beberapa pada kali yang ke-3 bahkan pada kali yang ke-1000 sekalipun.[11]
    Dengan bayaran maskahwin secara ansuran dan tidak memberi sebahagian daripada maskahwin mengikut keadaan hari atau masa keengganan perempuan bergaul dengan lelaki yang mengadakan aqad mut’ah dengannya. Misalnya mereka mengadakan akad mut’ah untuk 10 hari dan menentukan maskahwinnya sebanyak RM 100.00 tetapi si lelaki bimbang perempuan yang dia lakukan mut’ah dengannya itu tidak akan memenuhi tempoh yang dipersetujui itu maka bolehlah ia mengaqad mut’ah dengan bayaran maskahwinnya secara beransur-ansur. Jadi jika perempuan itu hanya memenuhi kepuasan lelaki tersebut selama 5 hari sahaja, maka lelaki itu perlu membayar RM 50.00 sahaja.[12]
Reply

Use magic Report

Post time 2-8-2011 05:28 AM | Show all posts
Iran nampak fundamentalis dari luar... tapi rakyatnya banyak yg westernised.... siap ada tatoo lagi....
Reply

Use magic Report

Post time 3-8-2011 01:43 AM | Show all posts
komeini pun pedofile xheranlah pelacuran dihalalkan.
Reply

Use magic Report

Post time 4-8-2011 06:14 PM | Show all posts
presiden mahmoud ahmadinejad ni cam soleh je tp kenapa biarkan rakyatnya jadi camni??
takkan dia tak tau sebagai pemimpin dia ada tanggungjawab yg besar terhadap rakyatnya??
kesian tgk budak2 tu terpaksa belajar dlm bas buruk
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 6-8-2011 03:03 PM | Show all posts
iran bukan islam...mrk syiah byk....yg sunni ciput saja....jgnlah nilai pakaian mrk sheingga kita begitu mengaitkan dgn Islam....tp pakaian Islam dan sistem Islam dan cara hidup Islam itu yg benar2 Islam....Iran  mmg  sebuah negara yg asalnya mantap tp sgt miskin kerana agihan sumber negara yg berat sebelah dan rata2 kerajana yg kaut untung...mcm negara komunis .Sebab tu ramai org2 iran yg jual dadah.Byk kali pernah ke sana sekadar melalui jalan utk destinasi yg seterusnya.
Reply

Use magic Report

Post time 7-8-2011 02:37 PM | Show all posts
Sekolah smntara barangkali..??
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

2-2-2025 04:46 AM GMT+8 , Processed in 0.053535 second(s), 30 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list