Hulu Terengganu: Pembukaan semula Tasik Kenyir bukan sahaja memberi limpahan rezeki kepada pengusaha bot dan peniaga setempat tetapi turut memberi manfaat kepada kaki pancing.
Seorang pemuda dari Kampung Tebakang mencipta rekod tersendiri apabila berjaya menaikkan ikan toman seberat lima kilogram di Tasik Kenyir, hari ini.
Mohd Sayuti Raja Mamat, 27, mengakui dia meluangkan masa selama tiga jam memancing di tasik berkenaan sebelum jorannya disambar ikan toman.
"Saya pertama kali berjaya mendaratkan toman dewasa sebesar itu di tasik berkenaan.
"Sebelum ini, hanya toman seberat satu hingga dua kilogram sahaja tetapi kali ini beraya menaikkan toman sebesar itu," katanya.
Tambahnya, dia sudah empat bulan tidak memancing di tasik itu berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuat kuasa sebelum ini.
"Berbaloi lama bersabar dan menanti untuk ke tasik itu kerana akhirnya berjaya menaikkan ikan toman bersaiz besar itu.
"Saya tidak berniaga menjual ikan toman itu sebaliknya akan dimasak dan dijamu kepada keluarga terdekat," katanya.\
Menurutnya, aktiviti memancing yang sudah lama tidak dijalankan di Tasik Kenyir menyebabkan jumlah ikan semakin bertambah dan menjadi lubuk utama kaki pancing.