[size=0.8]Oleh Hidayatidayu Razali - Oktober 19, 2021 @ 3:05pm[email protected]
KOTA BHARU: Kadar jangkitan COVID-19 negeri Kelantan adalah paling tinggi di negara ini iaitu 66.8 peratus bagi setiap kes 10,000 populasi dalam tempoh dua minggu sehingga semalam.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK), Datuk Dr Zaini Hussin, berkata kadar jangkitan itu tinggi berbanding Malaysia yang dicatatkan sebanyak 33.8 peratus.
Katanya, ini menunjukkan bahawa jangkitan COVID-19 di negeri ini masih lagi berisiko yang mungkin disebabkan oleh varian Delta yang sudah ada dalam komuniti.
"Bagi membendung penularan wabak COVID-19, kami mohon kerjasama daripada semua rakyat sama ada yang tinggal di Kelantan atau perantau supaya sentiasa menjaga diri masing-masing.
"Kita harap dan merayu kepada mereka supaya patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan terutama ketika berada di tempat awam dan sesak.
"Perkara ini dapat mengelakkan penularan wabak COVID-19 sekali gus membantu menurunkan kes dan kadar jangkitan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Dr Zaini berkata, kadar penggunaan katil hospital bagi pesakit COVID-19 di negeri ini adalah sebanyak 77.1 peratus.
Selain itu, beliau berkata, kadar penggunaan unit rawatan rapi (ICU) pula dicatatkan sebanyak 66.7 peratus dan pesakit yang menggunakan alat bantuan pernafasan ialah 57.7 peratus.