Kuala Nerus: Beberapa kawasan di bahagian utara Terengganu dijangka dilanda banjir terlebih dahulu selepas menerima taburan hujan yang lebih tinggi ketika musim tengkujuh.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu Leftenan Kolonel (PA) Mohd Rosman Abdullah berkata, ia termasuk daerah Besut dan Setiu sebelum banjir dijangka melanda ke daerah lain.
Menurutnya, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan Monsun Timur Laut bermula pada awal November ini hingga Mac tahun depan.
"Kita jangka Terengganu akan mengalami antara empat hingga enam luruan monsun yang akan membawa kepada hujan lebat berterusan.
"Sekiranya hujan lebat berterusan dengan air pasang berlaku serentak, berkemungkinan risiko kejadian banjir akan meningkat di kawasan-kawasan yang rendah," katanya selepas meninjau persiapan bagi menghadapi Monsun Timur Laut di pekarangan Pejabat APM Terengganu di sini, hari ini.
Mohd Rosman berkata, mengikut ramalan Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Terengganu, kedudukan aras air laut bagi Stesen Cerapan Kemaman pada awal November hingga Disember ini dijangka boleh mencecah antara tiga meter (m) hingga 3.7 m.
Beliau berkata, kedudukan aras laut di Stesen Cerapan Kuala Terengganu pula dijangka mencecah antara 2.4 m hingga 2.9 m.
"Daripada segi keanggotaan pula, seramai 2,779 pegawai dan anggota bersedia digerakkan untuk operasi menyelamat dan memindahkan mangsa banjir.
"Ia membabitkan enam agensi iaitu APM, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
"APM daerah juga sudah menjalankan simulasi dan persiapan daripada segi pengujian bot, simulasi pusat pemindahan sementara ( PPS) dengan mengikut norma baharu bersama-sama agensi penyelamat yang lain," katanya.