Kuala Terengganu: Semua Taman Eko-Rimba dan Hutan Simpan di negeri ini ditutup sementara berkuatkuasa hari ini sehingga akhir Februari depan.
Pengarah Jabatan Perhutanan negeri, Roslan Rani berkata, penutupan itu dilakukan bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku ke atas pengunjung berikutan musim tengkujuh di negeri ini.
Katanya, penutupan selama empat bulan sehingga 28 Februari depan itu dilakukan susulan musim tengkujuh dan risiko kejadian kepala air.
"Sehubungan itu, aktiviti rekreasi, pendakian, pacuan empat roda dan sebagainya dalam hutan simpan kekal adalah tidak dibenarkan.
"Individu yang melanggar arahan itu boleh dikenakan tindakan dan disiasat mengikut Enakmen Perhutanan Negara (Penerimaan-Pakai) 1986 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali," katanya melalui kenyataan, semalam.
Sementara itu, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) negeri melaporkan beberapa kawasan di bahagian utara iaitu di Besut dan Setiu dijangka dilanda banjir selepas menerima taburan hujan yang lebih tinggi ketika musim tengkujuh.
Pengarah APM negeri, Leftenan Kolonel (PA) Mohd Rosman Abdullah dilaporkan berkata, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan Monsun Timur Laut bermula pada awal November ini hingga Mac tahun depan.
"Kita jangka Terengganu akan mengalami antara empat hingga enam luruan monsun yang akan membawa kepada hujan lebat berterusan.
"Sekiranya hujan lebat berterusan dengan air pasang berlaku serentak, berkemungkinan risiko kejadian banjir akan meningkat di kawasan-kawasan yang rendah," katanya.