Jerantut: Mayat lelaki tanpa pakaian ditemukan berdekatan Kolej Komuniti Jerantut, di sini, kira-kira 8 pagi hari ini.
Timbalan Ketua Polis Jerantut, Deputi Superintendan Azman Mat Kamis berkata, mayat Muhammad Zawawi Mohamad, 50, itu dijumpai orang awam berdekatan kolej berkenaan.
"Berdasarkan maklumat, lelaki ini berasal dari Kampung Doja, Jerantut yang masih bujang dan seorang penganggur.
"Dia (Muhammad Zawawi) mengalami komplikasi sakit mental sejak 10 tahun lalu akibat terbabit kemalangan jalan raya dan mendapat rawatan di Hospital Besar Johor Bharu," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, mayat terbabit dibawa ke Hospital Jerantut untuk bedah siasat.
"Difahamkan, pihak hospital akan turut menjalankan saringan bagi penilaian Covid-19," katanya.
Katanya, polis masih menjalankan siasatan ke atas penemuan mayat lelaki berkenaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jerantut menerusi talian 09-2662222.