Kuala Terengganu: Tiada kematian akibat Covid-19 membabitkan peniaga di Pasar Kedai Payang dilaporkan berlaku, sekali gus menafikan berita ditularkan.
Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Datuk Dr Kasemani Embong berkata, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) mengesahkan berlaku jangkitan Covid-19 dalam kalangan peniaga terbabit, namun tiada kes kematian dilaporkan.
Beliau berkata, bermula 31 Oktober hingga 13 November lalu, seramai 36 orang daripada 1,000 peniaga di pasar itu dijangkiti Covid-19 dan mereka sudah diasingkan serta diberi rawatan.
"Daripada 36 peniaga positif itu, dua daripadanya dimasukkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu iaitu seorang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan seorang lagi dirawat di wad Covid-19.
"Kedua-dua pesakit itu sudah dibenarkan pulang dan semua kontak rapat dikenal pasti dan dikuarantin.
"Orang ramai diminta tidak menularkan sebarang berita tidak sahih sehingga mencetuskan kebimbangan dan kekeliruan dalam kalangan masyarakat," katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.
Beliau berkata, JKNT akan sentiasa memastikan langkah pencegahan dan kawalan sewajarnya bagi memastikan penularan Covid-19 dapat disekat.
Terdahulu, tular di media sosial mendakwa ramai peniaga di Pasar Kedai Payang dijangkiti Covid-19 sehingga ada antara mereka meninggal dunia dan ditidurkan.