|
Kira-kira 100 ekor kucing ditemui mati di kediaman seorang pesara di selatan Perancis, semalam.
Persatuan perlindungan haiwan berkata, sukarelawannya dimaklumkan anak saudara lelaki berkenaan yang memasuki kediaman itu pada Ahad selepas lelaki terbabit dimasukkan ke hospital di Nice.
Gambar hiasan/Reuters
Sebahagian besar bangkai kucing itu disimpan di dalam bekas plastik atau kayu yang bertutup, lapor akhbar Nice-Matin.
Selain kucing, sukarelawan turut menemui bangkai tupai dan tikus selain rahang anjing.
Malah, lebih 20 ekor kucing yang didapati kekurangan zat turut diselamatkan dari kediaman milik lelaki berusia 81 tahun itu dan kini ditempatkan di rumah perlindungan serta klinik haiwan.
"Berdasarkan keadaan kucing-kucing itu, ia dimasukkan ke dalam bekas bertutup itu selepas mati.
"Namun, kami jangka ada sekurang-kurangnya dua ekor kucing dimasukkan (ke dalam bekas) hidup-hidup," kata presiden persatuan La Tribu du Fourmilier, Philippe Desjacques.
Desjacques berkata, lelaki berkenaan dipercayai menghidap sindrom Noah yang menjelaskan mengenai tabiat mengumpul haiwan, yang mungkin berpunca akibat kesunyian.
Ia adalah sebahagian daripada sindrom Diogenes yang dikaitkan dengan tabiat suka mengumpul barang.
Katanya, pihaknya akan memfailkan tuduhan terhadap lelaki berkenaan atas dakwaan pengabaian haiwan.
Sumber: Harian Metro |
|