|
Seorang lelaki yang mengamuk tanpa diketahui punca ditemukan mati di dalam longkang belakang rumahnya di Taman Dahlia, di sini, malam tadi.
Dalam kejadian jam 7.35 malam itu, lelaki berusia 31 tahun terbabit disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas pemeriksaan dilakukan kakitangan hospital.
Gambar hiasan
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, polis pada mulanya menerima panggilan daripada seorang lelaki yang mengatakan jirannya sedang mengamuk di belakang rumah.
Menurutnya, lelaki berkenaan diberitahu isterinya berhubung kelakuan jiran mereka yang sebelum itu meracau seorang diri dan membuat bising di luar rumah.
"Berikutan itu, lelaki terbabit menghubungi polis dan sebaik tiba di lokasi, anggota melakukan pemeriksaan dan menemui mangsa tidak sedarkan diri dalam longkang belakang rumah.
"ihak ambulans terpaksa dipanggil dan hasil pemeriksaan lanjut mendapati lelaki berkenaan sudah meninggal dunia," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, siasatan lanjut mendapati lelaki itu sudah empat tahun tinggal di rumah terbabit seorang diri dan dia juga tidak mempunyai pekerjaan serta dipercayai penagih dadah.
"Hasil keterangan daripada jirannya, mereka mendakwa yang lelaki terbabit memang kerap mengamuk tanpa punca sehingga menimbulkan ketakutan kepada penduduk sekitar.
"emeriksaan lanjut juga mendapati lelaki berkenaan mempunyai rekod perubatan psikiatri dengan kali terakhir menerima rawatan pada Mac 2016 lalu," katanya.
Menurutnya, mayat dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim untuk bedah siasat serta ujian saringan Covid-19 turut akan dijalankan.
Setakat ini, kes diklasifikasi sebagai mati mengejut.
Sumber: Harian Metro |
|