
KUCHING: Kerajaan Sarawak memberi jaminan akan meneruskan rundingan dengan Kerajaan Persekutuan untuk mengembalikan hak-hak negeri ini yang terhakis seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ia termasuk melaksanakan perkara-perkara yang belum dilaksanakan dalam MA63 termasuk wakil Sarawak dalam Lembaga Pengarah Hasil Dalam Negeri (LHDN).
“Alhamdullilah, kita sudah pun mencatatkan satu kejayaan apabila pindaan Perlembagaan berkaitan MA63 untuk memberikan hak sama rata kepada Tanah Melayu, Sarawak dan Sabah sebagai tiga pihak yang telah menubuhkan Malaysia sekali gus mengiktiraf MA63.
“Malah beberapa kejayaan sudah dicapai sebelum ini untuk mengembalikan hak seperti mengenakan cukai jualan ke atas produk petroleum dan pengiktirafan kuasa Sarawak di bawah Ordinan Perlombongan Minyak 1958 (OMO 1958),” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Perutusan Krismas 2021 dan Tahun Baharu 2022 baru-baru ini.
Tegasnya, tiada yang lebih penting daripada maruah dan martabat Sarawak.
“Mari kita merapatkan barisan dan berpadu tenaga dan fikiran untuk meletakkan Sarawak di tempat yang tertinggi di persada pembangunan negara.
“Dalam suasana dan semangat Keluarga Sarawak yang bahagia, mesra dan inklusif, saya menyeru agar masyarakat kita yang berbilang bangsa, keturunan dan agama terus menjunjung tinggi amalan hormat-menghormati antara satu sama lain supaya terus dihormati di persada kebangsaan,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau menyeru kepada semua masyarakat yang menyambut perayaan Krismas untuk terus mematuhi SOP yang ditetapkan walaupun kadar jangkitan harian di Sarawak sudah menurun kepada dua angka.
“Selamat menyambut Hari Krismas kepada semua rakyat Sarawak, saya amat berharap saudara dan saudari menyambutnya dalam suasana yang ceria di samping keluarga dan semoga beroleh penuh keberkatan.
“Di kesempatan ini juga saya ingin mengucapkan Selamat Tahun Baharu 2022 kepada seluruh rakyat Sarawak tidak kira di mana saudara dan saudari berada.
“Saya amat berharap tahun baharu 2022 akan membawa lebih kejayaan kepada Sarawak dan rakyatnya dalam memajukan diri dan negeri yang tercinta,” katanya lagi.
sarawakvoice.com/2021/12/25 |