
PADAH: Suspek dan barang rampasan ditahan dan dibawa ke IPD Sandakan untuk siasatan lanjut.
SANDAKAN: Cubaan menyeludup masuk 4,800 telur penyu ke negara ini gagal selepas seorang lelaki warga asing ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) di perairan daerah ini, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian jam 4 petang itu, anggota PGA mengesan sebuah bot dalam keadaan mencurigakan bergerak dari Pulau Taganak cuba memasuki perairan Sandakan.
Komander Briged PGA Sabah, Senior Asisten Komisioner Abdul Rani Alias berkata, pasukannya bertindak mengejar bot berkenaan untuk tujuan pemeriksaan.
“Sebaik berjaya dipintas, pasukan PGA mendapati terdapat seorang lelaki berumur 28 tahun berada di dalam bot berkenaan.
“Hasil siasatan, lelaki berkenaan tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah dan mengaku dari negara jiran” katanya dalam kenyataan medianya, di sini semalam.
Katanya, pemeriksaan lanjut ke atas bot suspek, berjaya menemukan 19 plastik mengandungi sebanyak 4,800 telur penyu dipercayai dari negara jiran.
“Selain itu, turut ditemukan 14 tong jerikin kosong dipercayai untuk digunakan menyeludup keluar minyak petrol bersubsidi dari daerah ini.
“Suspek dan semua barang rampasan termasuk bot yang dianggarkan bernilai RM14,940 itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Abdul Rani berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenalpasti klasifikasi kes untuk tindakan pendakwaan.
utusanborneo.com.my/2021/12/26 |