|
KEADAAN hakisan di pantai Paka yang semakin hampir memusnahkan rumah penduduk dan inap desa di situ. FOTO Rosli Ilham
Dungun: Fenomena air pasang besar serta kehadiran ombak Monsun Timur Laut menyebabkan kawasan pantai Paka, di sini, semakin terhakis.
Hakisan sepanjang kira-kira dua kilometer itu menyebabkan 10 keluarga yang tinggal di situ semakin bimbang dengan keselamatan mereka.
Zainalwati Samad, 58, berkata dia bimbang keselamatan keluarga selagi fenomena air pasang besar dan musim tengkujuh belum berakhir.
Menurutnya, projek pembinaan benteng pemecah ombak dibina tidak jauh dari situ dipercayai menyebabkan ombak berganjak dan membadai ke kawasan penempatan penduduk.
"Paling bimbang ketika ombak membadai waktu malam, jika kuat sedikit lagi, mungkin rumah saya bakal menyembah bumi.
"Kami berterima kasih kepada pihak berwajib yang berusaha meletakkan guni pasir bagi mengelak hakisan terus merebak, namun keadaan itu tidak mampu bertahan lama," katanya.
Pemilik inap desa, Hasri Hashim berkata, kehadiran ombak kali ini hampir sekali lagi menyebabkan inap desa miliknya musnah.
Menurutnya, kejadian pada tahun lalu menyebabkan enam daripada 11 unit inap desa miliknya rosak sehingga dia mengalami kerugian RM200,000.
"Saya sudah habis banyak wang untuk kerja membaik pulih dan menutup perniagaan buat seketika.
"Saya segera membaik pulih untuk beroperasi semula bagi menampung kerugian, namun selepas lima bulan beroperasi, hakisan berlaku lagi," katanya.
Menurutnya, dia terpaksa menutup perniagaan buat sementara waktu sebagai langkah keselamatan dan mengelakkan risiko kepada pelanggan.
Katanya, jika ombak terus membadai, dia akan kerugian sekali lagi dan tidak tahu di mana untuk mengadu serta mencari peruntukan bagi untuk membaikinya semula.
Fenomena air pasang besar dijangka berakhir pada Sabtu ini dengan ketinggian paras air sehingga 3.7 meter.
|
Rate
-
1
View Rating Log
-
|