|
ABU Saffian Husin melihat tangki minyak yang tersadai ditepi rumahnya di Kampung Air Hitam. FOTO Mohd Rafi Mamat
Kuantan: "Rumah saya bergoyang dan hanya berserah sambil berdoa agar rumah tidak runtuh selepas dilanggar tangki diesel yang hanyut dibawa arus deras banjir pada malam 19 Disember lalu," kata pesara kerajaan Abu Saffian Husin, 54.
Abu Saffian yang menetap di Kampung Air Hitam, di sini, berkata tangki minyak berkenaan seolah-olah melekat pada dinding rumah ketika paras air setinggi lebih 3.5 meter.
Menurutnya, tangki milik rakannya itu terletak kira-kira 100 meter dari rumahnya dan diletakkan di kawasan simpanan barangan binaan.
Katanya, dia tidak menyangka tangki minyak sebesar itu boleh bergerak jauh dibawa arus banjir hingga tersadai di rumahnya.
"Kejadian banjir akhir bulan lalu dianggap luar biasa apabila arus air begitu deras dan paras air dalam.
"Saya difahamkan di dalam tangki berkenaan masih terdapat minyak, dan ia kini berada di tepi rumah saya.
"Pada masa sama, saya juga bimbang tangki minyak terbabit tergolek dan boleh mengancam nyawa kami sekeluarga," katanya yang mengusahakan bengkel kimpalan.
Abu Saffian berkata, tangki minyak berkenaan kemungkinan akan hanyut masuk ke Sungai Belat yang terletak berhampiran sekiranya tidak tersangkut di rumahnya.
Menurutnya, banjir gelombang kedua bermula kelmarin seolah-olah tidak memberi kesan pada tangki berkenaan kerana paras air tidak terlalu tinggi dan arus juga tidak deras.
"Cuma saya berharap pemilik tangki minyak berkenaan dapat segera mengalihkan tangki berkenaan demi keselamatan kami sekeluarga.
"Untuk mengangkat dan memindahkan tangki berkenaan memerlukan bantuan jentera dan lori besar," katanya yang berharap kejadian terbabit tidak berulang lagi.
|
Rate
-
1
View Rating Log
-
|