|
ZINORLAILI menunjukkan botol yang dikumpulnya untuk dihantar ke kilang kitar semula. FOTO Syaherah Mustafa
Kota Bharu: Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Begitulah peribahasa yang menjadi pegangan ibu tunggal yang gigih membesarkan enam cahaya mata dengan hasil kutipan barangan terbuang untuk dikitar semula.
Zinorlaili Mat Ail, 46, cekal dan tidak kisah berpanas atau hujan demi mencari sesuap nasi bagi memastikan dapurnya berasap untuk diberi makanan kepada anak-anak termasuk ibunya, Memunah Seman, 76.
Katanya, barangan terbuang seperti kotak, plastik, besi dan botol yang dilihat tidak bernilai di mata orang lain adalah rezeki buatnya yang sudah lebih 10 tahun melakukan kerja terbabit.
"Setiap hari, bermula 8 pagi sehingga 10 pagi, saya keluar mendapatkan barangan terbuang untuk dijual ke kilang kitar semula berdekatan sebelum kembali ke rumah untuk makan dan solat. Kemudian, meneruskan pencarian lagi pada 5 petang sehingga 7 malam.
"Biasanya, sudah ada premis atau tuan kedai yang menghubungi saya jika ada barangan yang boleh dikitar semula hendak dibuang kerana mereka sedia maklum saya akan mengambilnya untuk 'ditolak' ke kilang.
"Pada 2012 saya memulakan kerja ini dengan hanya mengayuh basikal mencari kotak dan botol terbuang, sebelum mendapat perhatian penghulu kampung pada 2013, yang menghadiahkan saya motosikal roda tiga untuk memudahkan kerja," katanya ketika ditemui di rumahnya di Jalan Masjid Baung Bayam, di sini, semalam.
Bagaimanapun, motosikal berkenaan mengalami banyak kerosakan selepas digunakan untuk mengangkut barangan hampir setiap hari, namun nasib Zinorlaili mendapat perhatian wakil Thirdforce di bawah Yayasan Raja Shamri (YRS), Muhd Fakhry Radhi Ahmad Dusuki.
Zinorlaili menerima sumbangan motosikal roda tiga yang baharu daripada YRS Oktober lalu sekali gus menghilangkan kebimbanganya untuk mencari wang bagi membaiki kerosakan motosikal lama miliknya itu.
"Jutaan terima kasih saya ucapkan kepada semua pihak yang membantu meringankan bebansaya sekeluarga termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang memberi bantuan RM300 sebulan.
"Saya akan teruskan kerja ini selagi ia halal, malah tidak pernah merasa malu kerana mengutip barangan terbuang untuk dikitar semula juga suatu kerja yang murni selain secara tidak langsung dapat menjaga alam sekitar," katanya yang juga ibu kepada cahaya mata berusia 12 hingga 24 tahun.
Menurutnya, hasil daripada mengumpul barangan terbuang juga dia dapat memberi pendidikan kepada anak-anak termasuk anak kedua, Nur Anis Zulaikha Mohd Asri, 21, yang kini melanjutkan pelajaran di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Jeli.
|
Rate
-
1
View Rating Log
-
|