Edited by Vellfire at 21-1-2022 03:30 PM

MIRI: Seorang remaja perempuan dihadapkan ke Mahkamah Majistret atas tuduhan memiliki dadah berbahaya jenis methamphetamine.
Dayang Suhaida Awang Zamberi, 19, dari Jalan Pujut Adong 2A di sini didakwa mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 (Akta 234) dan dihukum di bawah Seksyen 12 (3) akta yang sama.
Mengikut kesalahan ini, tertuduh boleh dikenakan hukuman denda RM100,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan pertuduhan kes, tertuduh bukan sebagai seorang yang diberi kuasa di bawah ADB 1952, telah dituduh memiliki dadah berbahaya jenis methamphetamine seberat 0.5 gram (berat kasar).
Methamphetamine merupakan satu item yang terkandung di dalam Bahagian III Jadual Pertama ADB 1952.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 1.50 petang, 7 Januari lalu di dua buah lot di Lorong 4-7 Bandar Baru Permyjaya di sini.
Tiada pengakuan salah tertuduh direkodkan.
Terdahulu di hadapan mahkamah, pegawai pendakwa Inspektor Mudzilawati Abdul Rahman memohon ditetapkan satu tarikh baharu untuk sebutan lanjut sementara menunggu laporan kimia berhubung barang kes siap.
Pendaftar Mahkamah Rendah Nu'urhafiza Mohd Yatim menetapkan 15 Februari depan untuk sebutan lanjut kea.
Manakala tertuduh dibenarkan dibebas dengan jaminan RM2, 500 berserta seorang penjamin tempatan sementara menunggu tarikh tersebut.
utusanborneo.com.my/2022/01/21 |