
Kesemua suspek terlibat judi holo ditahan untuk tindakan lanjut.
KUCHING: Seramai 19 individu ditahan polis ketika sedang leka berjudi jenis Hoo Hey How (holo) di sebuah premis tidak bernombor, di Jalan Kampung Sijuk Siburan di sini tengah malam tadi.
Ketua Polis Daerah Padawan, Superintenden Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, kesemua suspek berusia antara 24 hingga 56 tahun ditangkap dalam Op Limau yang dijalankan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan sekitar jam 12.15 tengah malam.
"Anggota telah membuat serbuan ke atas sebuah tempat yang disyaki dijadikan tempat perjudian holo di tingkat satu di atas sebuah kedai kopi, Jalan Sinjok Siburan.
"Hasil serbuan berjaya menangkap seramai 19 lelaki yang leka berjudi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jelas Abang Zainal, polis turut dirampas lapan kerusi, wang tunai berjumlah RM2,000, seunit kong holo, tiga buah holo, sehelai kain holo dan meja.
"Kesemua suspek bagaimanapun tiada rekod jenayah lampau," katanya.
Ujarnya, kesemua suspek ditangkap di bawah Sekyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
utusanborneo.com.my/2022/02/04 |