
BINTULU: Seorang penjawat awam di sini mengalami kerugian RM78,730 setelah ditipu melalui pembelian dalam talian secara 'fail android package kit' (APK) pada 15 Februari lalu.
Ketua Polis Daerah Bintulu Superintenden Zulkipli Suhaili berkata, mangsa merupakan wanita berumur 40 tahun menyedari beliau menjadi mangsa tipu setelah melakukan semakan akaun dan mendapati transaksi pengeluaran dari akaun bank peribadinya.
Menurutnya, pada 12 Februari lalu mangsa terlihat satu iklan di laman sosial Facebook mengiklankan promosi jualan perabot.
"Mangsa kemudiannya menghubungi nombor WhatsApp diberikan dalam iklan tersebut.
"Mangsa kemudiannya diminta memuat turun satu aplikasi diberikan dan tanpa berfikir panjang mangsa muat naik aplikasi itu dalam telefon bimbitnya dan cuba membuat pendaftaran dengan memasukkan butiran bank ke dalam aplikasi itu bagi tujuan pembayaran pembelian set cadar tilam," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, semasa pendaftaran dilakukan mangsa mendapati urusan pendaftaran tidak berjaya dan kemudian bertanya kepada individu terbabit dan diberitahu akan merujuk kepada pihak teknikal mereka.
"Pada 15 Februari, mangsa membuat semakan akaun bank dan mendapati ada transaksi pengeluaran daripada akaun miliknya," jelas beliau.
Justeru, menyedari dirinya menjadi mangsa tipu mangsa membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bintulu untuk siasatan kes tersebut.
Zulkipli menasihatkan orang awam agar sentiasa berhati-hati dengan pembelian di laman sosial yang menawarkan harga murah daripada harga pasaran.
"Sebaik-baiknya jangan memuat turun sebarang capaian diberikan oleh penjual tanpa membuat semakan terlebih dahulu bagi mengelak menjadi mangsa tipu," katanya.
utusanborneo.com.my/2022/02/18 |