Sarawak diyakin capai sasaran jadi kuasa besar Asia Tenggara sedia tenaga berpatutan, boleh dipercayai, boleh diperbaharui

SATU ABAD: Abang Johari (kanan) melancarkan setem peringatan 100 tahun Sarawak Energy di BCCK. Turut kelihatan Sharbini (dua kanan), Dr Sim (tiga kanan) dan Julaihi (kiri). - Gambar oleh Roystein Emmor
KUCHING: Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yakin Sarawak dapat mencapai sasarannya menjadi kuasa besar Asia Tenggara dalam menyediakan tenaga yang berpatutan, boleh dipercayai dan boleh diperbaharui.
Berucap pada majlis ‘Sarawak Energy Centenary Townhall:100 Years of Powering Sarawak’ di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini hari ini, Abang Johari berkata sasaran ini dapat dicapai dengan kekayaan kuasa hidro diperbaharui dan sumber asli yang ada di negeri.
Katanya sejak 2016, Sarawak telah mengeksport elektrik diperbaharui ke Kalimantan Barat dan dalam masa terdekat ini, Sarawak akan memulakan eksport kuasa ke Sabah dan akhirnya bertujuan untuk merealisasikan Grid Borneo dan menjadi Bateri ASEAN.
“Projek Kalimantan Utara kita juga berkembang dengan baik dalam persediaannya untuk keputusan pelaburan terakhir.
“Sebaik projek ini direalisasi, ia akan menyumbang besar kepada kebolehpercayaan bekalan serantau, pertumbuhan dan kemakmuran ekonomi,” katanya.
Terdahulu dalam ucapannya Abang Johari berkata matlamat Sarawak adalah untuk memastikan semua rakyatnya mempunyai peluang sama untuk turut serta dalam pembangunan negeri dan menikmati agihan kekayaan yang sama rata menerusi peluang pekerjaan dan perniagaan.
Ini katanya, termasuk memastikan semua mempunyai akses kepada utiliti asas seperti elektrik selari dengan Matlamat No.7 Pembangunan Negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai tenaga yang bersih dan mampu milik untuk semua.
“Kawasan luar bandar Sarawak mesti dilengkapi dengan infrastruktur asas dan fasiliti yang membolehkan komuniti turut serta dalam aktiviti serta memperbaiki taraf hidup.
“Untuk mengurangkan jurang antara komuniti bandar dan luar bandar, Kerajaan Sarawak telah melaksanakan pembangunan sosioekonomi dan tranformasi luar bandar untuk memastikan rakyatnya dapat menjana pertumbuhan ekonomi tinggi.
“Saya juga gembira dengan kemajuan yang dibuat dalam menerangi Sarawak terutama komuniti luar bandar menerusi Pelan Induk Elektrifikasi Luar Bandar di bawah Projek Rakyat, kolaboratif bersama Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi dan Sarawak Energy,” katanya.
Secara perbandingan pada 2009, kadar elektrifikasi luar bandar hanya 56 peratus manakala kini kira-kira 97 peratus daripada komuniti luar bandar Sarawak mempunyai akses kepada bekalan elektrik 24 jam menerusi grid termasuk solar dan sistem kuasa hidro.
Abang Johari juga percaya dengan usaha gigih dan komitmen tinggi, Sarawak akan mencapai sasaran kadar elektrifikasi domestik 100 peratus pada 2025.
Mengenai majlis itu, Abang Johari berkata untuk Sarawak Energy bertahan selama 100 tahun bukan satu perjalanan yang mudah.
Sebagai penyedia kuasa tunggal di Sarawak, usaha dan sumbangan Sarawak Energy menjadi kunci dalam menyokong usaha kerajaan menjadi negeri berpendapatan tinggi menjelang 2030.
Hadir sama Timbalan Ketua Menteri Dato Sri Dr Sim Kui Hian, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Julaihi Narawi dan Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Energy Datu Sharbini Suhaili.
utusanborneo.com.my/2022/02/21