Edited by Vellfire at 21-2-2022 03:33 PM

TERPERANGKAP: Anggota bomba mengeluarkan mangsa yang terperangkap pada bahagian enjin lori 10 tan dalam kejadian terbabit.
PENAMPANG: Seorang lelaki maut selepas terhempap 'Hydraulic Dump' ketika membaiki enjin lori 10 tan dalam kejadian di Jalan Bundusan di sini hari ini.
Ketua Operasi Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Mohd Khairul Abd Kohir ketika dihubungi berkata, mangsa yang berumur 58 tahun itu dipercayai pemandu lori terbabit.
Menurutnya, mangsa ditemukan oleh majikannya di lokasi kejadian iaitu satu kawasan lapang tempat mangsa berhenti untuk membaiki lori berkenaan kira-kira jam 10 pagi.
"Sebelum kejadian, majikan mangsa cuba menghubunginya namun gagal dan menganggap pekerjanya itu berkemungkinan pergi makan.
"Bagaimanapun, selepas beberapa kali gagal dihubungi, majikannya memeriksa di tempat lori terbabit sebelum menemukan mangsa yang terperangkap," katanya kepada Utusan Borneo di sini hari ini.
Beliau berkata, mangsa disahkan meninggal dunia oleh kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang berada di lokasi kejadian.
Katanya, pasukan bomba segera menjalankan operasi untuk mengeluarkan mangsa yang terperangkap di lori terbabit.
Menurutnya, mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Pihaknya menamatkan operasi pada jam 11.20 pagi.
utusanborneo.com.my/2022/02/21 |