Edited by Vellfire at 25-2-2022 12:39 PM
SIBU: Seorang lelaki maut selepas kereta yang dipandunya terlibat dalam kemalangan di Jalan Deshon di sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian jam 6.30 pagi itu, Willy Asain, 23, meninggal dunia di tempat kejadian.
Kejadian dipercayai berlaku apabila kereta yang dipandu mangsa sedang bergerak dari Sibu Jaya menghala ke pusat bandar.
Ketika tiba di tempat kejadian, kereta mangsa dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke sebelah kiri jalan dan terlanggar batu sebelum terhumban ke lorong kanan jalan.
Kenderaan dipandu mangsa yang terlibat kemalangan jalan raya di Jalan Deshon awal pagi tadi.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Superintenden Alexson Naga Chabu berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak petugas ambulans Hospital Sibu.
Berdasarkan maklumat yang diperolehi, mangsa berasal dari Rumah Julin, Sungai Mapai, Sungai Aping, Kanowit.
Alexson berkata, mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Sibu untuk bedah siasat.
"Punca sebenar kejadian masih dalam siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," tambah beliau.
utusanborneo.com.my/2022/02/24 |