CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 509|Reply: 0

[Sarawak] Kes samun bersenjata di hotel bajet Bintulu selesai dalam 48 jam

[Copy link]
Post time 25-2-2022 08:40 PM | Show all posts |Read mode
Edited by Vellfire at 25-2-2022 12:50 PM

BINTULU: Empat suspek kes samun berkumpulan bersenjatakan parang di sebuah hotel bajet di kawasan Parkcity Commerce Square di sini berjaya diberkas anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Bintulu pada Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Bintulu Superintenden Zulkipli Suhaili berkata, suspek yang ditangkap antara jam 5.15 petang hingga 6.15 petang itu membabitkan empat lelaki tempatan berumur antara 29 dan 37 tahun.

Beliau berkata, pada jam 4.30 pagi 20 Februari lalu, seorang wanita tempatan berumur 20 tahun yang bekerja di kaunter hotel bajet di kawasan terbabit telah didatangi dua lelaki tidak dikenali.

Beliau berkata, mula-mula datang seorang suspek bertanyakan tentang bilik kosong untuk disewa, namun diberitahu tiada bilik kosong.

"Suspek keluar dari kawasan kaunter hotel tersebut dan kemudian masuk semula dengan membawa seorang rakannya bersenjatakan parang. Kedua-duanya terus memanjat masuk kaunter lantas mengacukan parang ke atas mangsa sambil menuntut agar menyerahkan wang.

"Mangsa yang dalam ketakutan melihat suspek membuka laci dan mengambil kesemua wang tunai dalam peti di laci kaunter tersebut yang berjumlah RM3,717," katanya pada sidang media di sini, hari ini. Hadir sama, pegawai penyiasat kes Inspektor Muhammad Suhaidi Akmadis dan pegawai serbuan Inspektor Askandal Madin.


Zulkipli menunjukkan parang yang dipercayai digunakan suspek.

Zulkipli berkata, laporan polis dibuat mangsa pada jam 9.07 pagi hari sama dan sekitar jam 6.15 petang Selasa, keempat-empat suspek berjaya ditangkap, sekali gus kes tersebut berjaya diselesaikan dalam tempoh 48 jam.

Ujarnya, empat suspek terbabit ditangkap di dua lokasi berasingan di Jalan Bintulu-Tatau dan Batu 7 Jalan Bintulu-Miri.

"Penangkapan suspek telah membawa pihak polis kepada barang kes yang disembunyikan dan pihak polis berjaya merampas sebuah kereta, sebilah parang, peti simpanan wang tunai dan pakaian yang dipercayai diguna suspek semasa kejadian," katanya.

Beliau berkata, polis telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan membabitkan rompakan berkumpulan menggunakan senjata - jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun atau denda atau dikenakan sebatan.

"Suspek telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bintulu untuk mendapatkan permohonan reman bagi membantu siasatan yang mana permohonan reman diluluskan selama enam hari sehingga 1 Mac ini. Ujian saringan air kencing juga dijalankan ke atas suspek bagi mengesan penyalahgunaan dadah," katanya.

Pada masa sama katanya, mangsa yang menjaga kaunter hotel bajet tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian tersebut.

"Kita percaya dua suspek lain adalah rakan kepada suspek yang menyamun, kemungkinan ada perancangan lain," katanya sambil menambah seorang suspek mempunyai rekod lampau dan pernah ditahan di penjara selama dua tahun di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959.

Jelasnya, seorang lagi suspek didapati mempunyai empat rekod jenayah lampau membabitkan tiga kes samun dan satu kes dadah.


utusanborneo.com.my/2022/02/24

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

24-2-2025 10:28 PM GMT+8 , Processed in 0.444415 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list