

Kanak-kanak berumur 10 tahun korban baharu COVID-19 di SarawakKUCHING: Kanak-kanak berusia 10 tahun dari Sibu merupakan korban terbaharu COVID-19 di Sarawak, kata Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS).
JPBNS memaklumkan, kes kematian bertarikh 17 Februari 2022 itu melibatkan kanak-kanak perempuan yang tidak mempunyai sejarah penyakit diketahui.
Katanya, Sarawak hari ini terus merekodkan peningkatan kes baharu COVID-19 iaitu 483 kes, berbanding 460 kes semalam.
Daripada jumlah kes baharu hari ini, 477 kes adalah Kategori 1 dan 2, sementara enam kes adalah Kategori 3 hingga 5.
JPBNS berkata, Kuching kekal merekodkan kes harian tertinggi dengan 173 kes, diikuti Miri (91), Sibu (80), Bintulu (27), Kapit (20), Matu (16) dan Mukah (11).
Manakala, 16 daerah lagi merekodkan kes harian di bawah 10, katanya.
JPBNS berkata, tiada kluster baharu diisytiharkan hari ini, justeru kluster aktif di Sarawak kekal tiga.
Berhubung notis kompaun, polis Sarawak mengeluarkan 15 notis kompaun atas kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) dan kesemuanya di daerah Kuching.
Katanya, kesemua 15 notis kompaun dikenakan atas kesalahan gagal mengimbas Kod QR MySejahtera atau mencatat kehadiran sebelum memasuki premis.
Polis telah mengeluarkan 13,423 notis kompaun secara keseluruhan di Sarawak, setakat ini.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) pula telah mengadakan 154 pemeriksaan harian di seluruh negeri, menjadikan jumlah keseluruhan pemeriksaan setakat ini, 16,326.
utusanborneo.com.my/2022/02/26
|