
MIRI: Kecekapan polis membuahkan hasil apabila kurang daripada lapan jam selepas menerima laporan, seorang lelaki tempatan berjaya ditangkap di sini pada Isnin lalu setelah disyaki menceroboh sebuah sekolah rendah di Lambir.
Menurut sumber, suspek berusia 31 tahun itu ditahan sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Miri kira-kira jam 3.30 petang di Dewan Serbaguna Kampung Tuanku Abdul Rahman, Jalan Miri-Bintulu.
“Dalam tangkapan itu, polis turut menemui sebuah tas tangan dan pemacu kilat,” menurut sumber.
Terdahulu pihak polis menerima laporan mengenai kejadian pecah masuk itu daripada pihak sekolah pada sebelah paginya.
Difahamkan, kejadian terbabit menyebabkan beberapa peralatan dapur serta makanan segera hilang dipercayai dicuri dari kuarters guru.
Siasatan awal polis turut mendapati suspek dipercayai memasuki kawasan sekolah dengan menggunting dawai pagar sekolah tersebut.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Miri ACP Hakemal Hawari ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit.
Suspek kini ditahan di Balai Polis Pusat Miri untuk tindakan selanjutnya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.
utusanborneo.com.my/2022/03/02 |