
TULAR: Tangkap layar video yang tular di media sosial berhubung pertikaian isu tanah tersebut.
SANDAKAN: Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang provokasi terhadap isu pertikaian tanah di Batu 12, di sini dan diminta menghormati keputusan mahkamah.
Terdahulu, tular satu video berdurasi dua minit 38 saat di media sosial, yang mempersoalkan kehadiran polis di kawasan itu.
Kejadian berkaitan isu pertikaian tanah itu tular di media sosial sejak kelmarin sehingga menimbulkan pelbagai reaksi warganet.
Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Mohd Azhar Hamin berkata kehadiran polis hanya untuk menjalankan tugas pengiring berkaitan keputusan Mahkamah Tinggi Sandakan.
“Kehadiran anggota polis di lokasi berkenaan bagi menjamin keselamatan semua pihak ketika proses arahan mahkamah dilaksanakan.
“Polis tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap individu yang cuba melakukan perkara yang melanggar undang-undang,” katanya dalam kenyataan media, di sini semalam.
Katanya, kesalahan menghalang penjawat awam menjalankan tugas boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan.
“Manakala, tindakan 'mengapi-apikan' mana-mana pihak untuk melakukan sesuatu tindakan yang salah boleh diambil tindakan mengikut Seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan.
“Sekiranya ada pihak yang cuba melakukan kesalahan terbabit, polis boleh mengambil tindakan dan menjalankan siasatan mengikut dua peruntukan undang-undang berkenaan,” katanya.
Mohd Azhar berkata, setakat ini, tiada pihak tampil membuat sebarang laporan polis berkaitan kesalahan yang dibuat oleh mana-mana individu.
“Saya menasihatkan pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan mahkamah supaya melantik peguam dan membuat rayuan melalui proses perundangan,” katanya.
utusanborneo.com.my/2022/03/09 |